Rabu, 22 Jun 2016

Geng curi Anak Bapak ditumpas polis Johor

 
 
Polis percaya dapat menumpaskan sindiket curi kenderaan oleh kumpulan penjenayah dikenali "Geng Anak Bapak" dengan tertangkapnya tiga lagi saki baki anggota kumpulan itu di Johor Bahru, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Mohd Taib Ahmad berkata ketiga-tiga mereka berumur antara 31 hingga 35 tahun, dengan dua daripadanya ialah anak beranak.

Beliau berkata penahanan mereka di sebuah kawasan di Skudai Kiri di Tampoi kira-kira pukul 5.20 petang itu adalah susulan daripada tangkapan empat lagi anggota kumpulan berkenaan pada 18 Jun di tempat yang sama.

Mohd Taib berkata polis akan menahan reman ketiga-tiga suspek selama 14 hari sehingga 3 Julai ini.
"Dalam tangkapan empat anggotanya sebelum ini, polis juga telah merampas sebuah lori yang dilaporkan hilang di Taman Universiti, selain daripada peralatan curi kenderaan.

"Semakan awal kemudian mendapati keempat-empat suspek yang berumur 21 hingga 44 tahun itu turut didapati positif dadah jenis morfin dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi kenderaan," katanya dalam kenyataan hari ini.- Bernama




Tiada ulasan: