Isnin, 13 Jun 2016

Fokus Deklarasi Rakyat tersasar bila Tun M guna pentas PAN - Tuan Ibrahim

Oleh Shuhaniza Said
  Post Pic

SHAH ALAM: Objektif Deklarasi Rakyat yang digerakkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sudah 'tersasar' apabila  mantan Perdana Menteri itu berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar. 
Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, deklarasi tersebut harus kekal sebagai milik rakyat sebagaimana yang diumumkan sebelum ini, tanpa melibatkan kecenderungan terhadap mana-mana parti politik. 
"Sebab Deklarasi Rakyat sebagaimana yang beliau kata, Deklarasi Rakyat ini ialah deklarasi bagi pihak rakyat, bukan bagi mana-mana parti politik.
"Jadi sekarang apabila Tun Mahathir naik di atas pentas Amanah (PAN), berkempen untuk Amanah (PAN), beliau telah lari daripada objektif penubuhan Deklarasi Rakyat.
"Ternyata bahawa Deklarasi Rakyat telah menjadi deklarasi parti politik," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.
Tun Dr Mahathir mula menyertai kempen Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar Sabtu lalu.
Tun M menggunakan pentas Parti Amanah Negara (PAN) yang mewakili gabungan pembangkang itu untuk menyeru rakyat menolak Barisan Nasional (BN) seterusnya memberi isyarat menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.  
Malah perdana menteri yang pernah memerintah negara selama 22 tahun itu, sebelum ini ada menyatakan kesediaannya untuk berkempen bagi calon-calon yang menyokong Deklarasi Rakyat.
Kata tokoh berkenaan juga, beliau akan turut menyokong PAS sekiranya ia menyokong Deklarasi Rakyat, namun parti Islam itu tidak menandatangani deklarasi yang dilancarkan Mac lalu itu.  
"Tapi asalnya ia deklarasi rakyat, jadi saya fikir apabila beliau naik atas pentas dan berkempen dan menyerang PAS, saya fikir ini langkah silap beliau," ujar Tuan Ibrahim lagi. 
Tegas Tuan Ibrahim, PAS mempunyai pendekatan berbeza dengan Deklarasi Rakyat yang bertujuan hanya mahu menurunkan Najib. 
Sebaliknya menurut beliau, PAS kekal dengan pendirian bahawa untuk melakukan perubahan bukan sekadar menurunkan Najib, tapi menukar keseluruhan sistem yang ditunjangi Umno-Barisan Nasional (BN). 
Ketika ditanya sama ada penyertaan Tun Mahathir di dalam kempen Pakatan Harapan memberikan kesan kepada PAS, ujarnya, perkara tersebut akan ditangani dengan gerak kerja jentera parti untuk mendekati pengundi. 
"Masih ada orang untuk mendengar kenyataan beliau, tetapi sejauh mana kesannya kita akan teliti. Bagi PAS, kita akan memberi fokus dalam mendekati pengundi," ujarnya lagi.   

Tiada ulasan: