Jumaat, 10 Jun 2016

Dr Rani dedah ada pemimpin PKR kecewa dengan tindakan parti sokong calon PAN

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
  Post Pic

SUNGAI BESAR: Ada sebilangan pemimpin PKR kesal dengan tindakan parti itu melebihkan kempen calon Parti Amanah Negara (PAN) untuk menang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.
Itu dakwaan calon PAS, Dr Abdul Rani Osman apabila diajukan peranan PKR dalam membantu PAS untuk menang kerusi tersebut.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan siapakah pemimpin PKR yang dimaksudkan itu.
"Jujurnya saya beritahu bahawa ada pemimpin PKR membantu dengan tidak turun berkempen untuk calon PAN. Mereka tak tunjuk muka. Mereka ada mesej secara peribadi dengan berharap saya menang. Tidak secara sokongan fizikal. Mereka beritahu kecewa dengan tindakan pemimpin PKR dan DAP yang turun (sokong PAN).
"Ada yang kecewa, namun saya tak mahu sebut nama. Saya tak kisah, yang penting kita tumpu kepada kempen, jumpa pengundi dan beritahu mereka apa yang boleh kita bantu," demikian menurutnya ketika ditemui Antarapos, semalam.
Meskipun kempen pilihan raya bagi PRK Sungai Besar kini memasuki hari keenam, kelibat pemimpin PKR bagi membantu jentera PAS masih gagal kelihatan.
Rata-rata pemimpin PKR, seperti Nurul Izzah Anwar dan Abdullah Sani Abdul Hamid dilihat lebih senang berdampingan dengan pimpinan PAN bagi memenangkan calonnya, Azhar Abdul Shukur.
Abdul Rani, yang juga ADUN Meru memberitahu tidak kecewa dengan sikap PKR itu.
"Saya diajar oleh Nik Aziz, apa sahaja kekecewaan serah kepada Tuhan, bukan kepada manusia. Sejak saya jadi Pesuruhjaya PAS Selangor, Nik Aziz pesan 'kalau kecewa, jangan cerita pada sesiapa, sebaliknya malam bangun solat tahajud, cerita pada Allah SWT'. Terserah pada tuhan," ujar Abdul Rani.
Dalam pada itu, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu juga diminta mengulas tindakan pihak tertentu, dipercayai daripada parti politik yang mendirikan papan iklan yang mendakwa parti Islam itu bergabung dengan Umno, malah bersekongkol dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menyifatkan ia sebagai strategi politik kotor dan terdesak, Abdul Rani menegaskan PAS sesekali tidak akan terjerumus dalam kempen sebegitu semata-mata untuk meraih sokongan pengundi.
"Ya, pada saya itu kempen kotor. Tidak apalah, manusia ini kita tak kenal, tapi apabila mereka bercakap atau berbuat sesuatu, kita dapat tahu sejauh mana fikrah mereka. 
"Itu yang sering disebut Hadi, PAS kena pergi ke arah politik matang dan sejahtera. Kita tak akan lakukan perkara yang sama seperti mereka. Pada saya, apa yang dibuat, berani buat berani tanggung. Masyarakat akan menilai," katanya.
Beberapa papan iklan yang ditemui di Sungai Besar dan Kuala Kangsar memaparkan imej muka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin parti komponen BN antaranya Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Malah ada juga papan iklan itu yang tertera "BN, Pas sehati sejiwa..."
Kesemua papan iklan tersebut bagaimanapun sudah diturunkan.

Tiada ulasan: