Selasa, 7 Jun 2016

'Dedak' punca mulut ahli Umno terkunci - Dr Mahathir

MALAYSIAKINI


Melainkan suara seorang dua yang kedengaran lantang membantah, ahli Umno lain begitu teruja menyokong presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak dalam berdepan pelbagai dakwaan terhadapnya.

Keadaan itu telah dikenal pasti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hasilnya, bekas perdana menteri itu berkata, ia disebabkan mulut-mulut ahli Umno telah disumbat dengan 'dedak' yang menjadikan mereka bisu.

"Katanya ada dedak yang disumbat ke dalam mulut ahli-ahli parti supaya mereka menjadi bisu.

"Ada ahli parti yang mengaku menerima sogokan sebanyak satu dan dua juta ringgit dan mereka pun menutup mulut terhadap jenayah yang jelas berlaku.

"Mereka mengia apa sahaja, " katanya dalam entri blog terbarunya.

Istilah 'dedak' sering digunakan untuk merujuk kepada orang yang telah menerima manfaat daripada pihak tertentu dan sebagai balasan, menjadi patuh kepada mereka.

Mahathir berkata, itulah sebab yang sama kenapa undi tidak percaya terhadap perdana menteri tidak boleh dilaksanakan.

"Biasanya apabila pemimpin menyeleweng, Perlembagaan negara memberi hak kepada wakil rakyat membuat undi tidak percaya dalam Dewan.

"Tetapi kerana dedak dan berbagai jenis tekanan, selain dari dua orang ahli Umno, ahli-ahli Umno yang lain dan BN tidak berani menyokong usul tidak percaya jika diusulkan," katanya.

Tiada ulasan: