Isnin, 6 Jun 2016

DBKL akui tidak mampu periksa semua bazar Ramadan setiap hari

 
Penjaja di semua bazar Ramadan di ibu kota digesa lebih bertanggungjawab dalam aspek pengendalian makanan.

 
Amin-Nordin-Abdul-Azizjpg


KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengakui berdepan kekangan untuk menjalankan pemeriksaan harian di semua 89 tapak bazar Ramadan di ibu negara tahun ini.

Sehubungan itu, Datuk Bandar, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz menggesa penjaja di semua bazar Ramadan di ibu kota supaya lebih bertanggungjawab dalam aspek pengendalian makanan.

“Kita janganlah hanya mengharapkan pihak berkuasa. Saya percaya pihak DBKL mempunyai kekangan untuk membuat pemeriksaan secara harian di semua bazar Ramadan dengan kebatasan kekuatan yang kita ada.

“Justeru, saya ingin memohon mereka yang menjalankan perniagaan itu sendiri supaya lebih bertanggungjawab di dalam aspek pengendalian makanan.

“Janganlah kita hanya mengharapkan pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan pengambilan sampel dan sebagainya barulah pada masa itu dan ketika itu kita menyediakan makanan yang bersih.

“Janganlah amalkan sikap ini dan mereka yang melanggar peraturan akan dikenakan kompaun dan seterusnya tindakan senarai hitam mengikut Undang-undang Kecil Pengendali Makanan 1979,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Mohd Sauffi Muhamad pada Majlis Pelancaran Program Penguatkuasaan Sanitasi dan Persampelan Makanan Bazar Ramadan 2016 di Flat PKNS Jalan Kuching hari ini.

Mohd Sauffi dalam sidang media selepas itu berkata, operasi penguatkuasaan DBKL kali ini akan melibatkan 54 pegawainya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar.

“Kali ini dianggarkan sebanyak 770 sampel makanan akan diambi dari 14 tapak bazar dan pemeriksaan sanitasi akan dilaksanakan mulai hari ini sehingga minggu terakhir Ramadan.

“Kesemua sampel yang diambil akan diuji kualitinya di Makmal Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan dan jika dilanggar kompaun maksimum RM2,000 serta tindakan disenaraihitamkan akan dikenakan terhadap penjaja bersalah,” katanya.

Menurut statistik pada 2015, sebanyak 346 sampel atau 34.4% daripada 1,005 sampel makanan yang diuji disahkan tercemar menyebabkan 43 notis kompaun telah dikeluarkan kepada penjaja.

Tiada ulasan: