Selasa, 14 Jun 2016

DAP sanggup bertindak bodoh demi kuasa – Ahmad Samsuri

 
Ahmad Samsuri mendakwa, DAP akan berbuat apa sahaja dakwaan karut, kadangkala bodoh dan sasau untuk mendapatkan kuasa.


Ahmad Samsuri


PETALING JAYA: Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa DAP sanggup melakukan apa sahaja, termasuklah tindakan yang bodoh demi mendapatkan kuasa.

“Politik cara DAP ini adalah jelas menunjukkan DAP akan berbuat apa sahaja dakwaan karut, kadangkala bodoh dan sasau untuk mendapatkan kuasa,” tulisnya menerusi Facebook beliau.

Ia susulan dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam kononnya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah berangan menjadi Perdana Menteri dan angan-angan itu disemai ketika parti Islam itu masih berada dalam Pakatan Rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

Apabila DAP dan PKR tidak menyokong hasrat Hadi, Kit Siang menuduh Hadi menyebelahi dan sanggup bersekongkol dengan UMNO untuk menutup salah laku yang didakwa dilakukan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu, Ahmad Samsuri menempelak dakwaan Kit Siang dan menyifatkan Ahli Parlimen Gelang Patah itu sebagai pemimpin yang mengamalkan politik bohong dan kebencian.

“Hujahan supremo DAP Lim Kit Siang dalam Facebook rasmi beliau semalam bahawa Pakatan Rakyat musnah disebabkan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi mahu menjadi Perdana Menteri adalah satu lagi contoh politik bohong dan kebencian yang dibawa oleh DAP,” katanya.

Minggu lalu, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua mengakui dua papan iklan berbentuk provokasi yang berlogokan AMANAH dan dipasang di Sekinchan dilakukan parti itu.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abu Bakar dilaporkan sebagai berkata, tindakan DAP menaikkan papan iklan itu bertujuan “melepaskan geram” masyarakat Tionghua terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos yang didakwa pernah mengeluarkan kenyataan berunsur rasis sebelum ini.

Tiada ulasan: