Khamis, 9 Jun 2016

Calon AMANAH pinjaman DAP, kata PAS

 
Mustafa juga mendakwa DAP mengatur Tun Dr Mahathir Mohamad untuk turun berkempen untuk AMANAH.


mustafa-dap-amanah


PETALING JAYA: Mengulangi tuduhannnya yang AMANAH didalangi DAP, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata PAS sebenarnya berdepan dengan DAP dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Sungai Besar.

“Berdasarkan laporan dari lapangan dan pemerhatian saya, strategi dan kerja-kerja untuk calon PAN dibuat oleh DAP,” lidah rasmi PAS, Harakahdaily melaporkan, menggunakan “PAN” sebagai singkatan AMANAH.

“Jadi secara realitinya pertandingan tiga penjuru pada PRK Sungai Besar, PAS berdepan dengan BN dan DAP,” tambahnya seperti dipetik Harakahdaily.

Malah Mustafa melabelkan calon AMANAH, Azhar Abdul Shukur, sebagai “pinjaman” DAP.

Pemimpin veteran PAS itu turut mendakwa DAP mengatur bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk turun berkempen pada PRK Sungai Besar nanti.

Minggu lepas, Mustafa berkata satu undi untuk AMANAH adalah undi untuk DAP.

PRK Parlimen Sungai Besar diadakan serentak dengan PRK Kuala Kangsar pada 18 Jun.

PAS diwakili Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman akan ditentang Azhar dan calon BN, Budiman Mohd Zohdi.

PRK itu diadakan ekoran kematian Tan Sri Noriah Kasnon dari BN dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada 2013, Noriah menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M. Hussin dengan majoriti tipis 399 undi.

Tiada ulasan: