Khamis, 9 Jun 2016

BN tak pasang poster besar elak pembaziran

 
Keputusan itu diambil juga bagi menghormati bulan Ramadan.


Datuk-Razali-Ibrahim


KUALA KANGSAR: BN meminimumkan penggunaan poster bersaiz besar di PRN Kuala Kangsar bagi mengelakkan pembaziran dan menghormati bulan Ramadan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, keputusan itu telah dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan parti.

“Kita kena tahu, ini bulan untuk kita beribadat dan berpuasa. Kita juga lihat suasana hari ini kita tidak boleh membazir.

“Ekonomi kita dalam keadaan yang terkawal tetapi membazir dalam bulan Ramadan tidak patut,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu selepas meninjau Bilik Gerakan BN di Kuala Kangsar hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tidak banyak poster besar calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kelihatan di kawasan Parlimen itu.

Berdasarkan tinjauan wartawan, kebanyakan poster calon BN hanya dapat dilihat di beberapa lokasi dan saiznya juga tidak besar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar itu menggesa AMANAH supaya menghormati budaya masyarakat Kuala Kangsar dan menghormati bulan Ramadan.

“Kita datang tempat orang kena hormat. Saya tidak mahu komen strategi mereka, tetapi kena saling menghormati satu sama lain agar tidak menimbulkan sensitiviti kaum di sini,” katanya.

Semalam, ucapan Ahli Parlimen Seremban-DAP, Anthony Loke pada ceramah AMANAH tergendala seketika apabila seorang pemuda memarahi penganjur kerana mengadakan ceramah ketika umat Islam menunaikan solat Tarawih.

Pemuda yang mendakwa penganjur tidak menghormati Islam itu mengugut akan membawa rakan-rakannya membuat kecoh jika AMANAH tidak menunggu sehingga selesai solat Tarawih.

Tiada ulasan: