Selasa, 14 Jun 2016

Biarlah dia istiqamah, kata calon Amanah tentang adiknya yang sokong Pas

HAZAYANI ZAKARIA
 
 
Dr Terrmizi bertemu dengan pengundi Kuala Kangsar dalam siri kempennya.Dr Terrmizi bertemu dengan pengundi Kuala Kangsar dalam siri kempennya.


Calon Parti Amanah Negara (Amanah) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar Dr Ahmad Termizi Ramli menjelaskan, hubungan beliau dengan adik bongsunya Dzorif Ramli yang juga ketua Pemuda PAS Kuala Kangsar tidak terjejas walaupun berlainan parti politik.

Ahmad Termizi berkata, hubungan dalam keluarga mereka masih harmoni dan mereka saling menghormati pendirian politik masing-masing.

“Hubungan keluarga tak terjejas apa-apa. Dia adik bongsu saya, paling manja dan juga anak susu, dia menyusu dengan isteri saya.

“Hubungan tetap harmoni walaupun berbeza wadah politik,” katanya ketika menjawab soalan pemberita dalam sidang media di pejabat Amanah Kuala Kangsar hari ini.

Ahmad Termizi juga berkata, semua ahli keluarga termasuk ibu tirinya yang dahulunya Pas telah beralih ke Amanah, cuma Dzorif seorang yang masih dalam Pas.

“Tak ada masalah sebab kami tahu dari awal lagi dia memang Pas dan keluarga kami dulunya Pas tapi semua dah tukar ke Amanah tapi dia seorang sahaja kekal Pas.

“Biarlah dia istiqamah, tak ada masalah. Itu hak dia dan kami sangat menghormai dan kami dalam keluarga memang mengamalkan budaya politik sihat,” katanya yang sebelum itu membentangkan lima manifesto ‘Suara Wakil Kuale’.

Malah katanya, mereka pernah bertembung sewaktu berkempen dan masing-masing terus berkempen untuk parti masing-masing.

“Kami pernah bertembung sewaktu kempen di Arena Square, Lembah. Dia berceramah dan saya edar risalah kempen. Tak ada masalah,” katanya sambil ketawa.

Pas sebelum ini berkata, Dzorif telah berkempen menentang Termizi dalam PRK kali ini.

Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria dalam satu ceramahnya mempersoal Dzorif yang tidak mengikut jejak Ahmad Termizi.

Beliau berkata, ia menunjukkan Dzorif yang juga seorang ulama tahu ada sesuatu yang tidak betul.

Tiada ulasan: