Rabu, 1 Jun 2016

Bernama nafi keluar berita istana, MB Terengganu

SINAR HARIAN

Ahmad Razif Abd Rahman
Ahmad Razif Abd Rahman


KUALA TERENGGANU - Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menafikan ada mengeluarkan berita membabitkan istana dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman yang disebarkan menerusi aplikasi WhatApps hari ini.   

Ketua Biro Bernama Terengganu, Zalina Maizan Ngah berkata, ada pihak tidak bertanggungjawab menulis berita palsu bertajuk 'Sultan Mizan Kembalikan Darjah Kebesaran Kepada MB Terengganu'.  

"Kali ini penulis ini bukan sahaja menjadikan sebagai sumber malah meletakkan nama saya sebagai individu yang menulis. Lebih teruk, ada kenyataan dikatakan daripada pihak istana yang mengaitkan Sultan Mizan Zainal Abidin.  

"Saya berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengesan individu ini secepat mungkin," katanya ketika dihubungi.  

Menurut Zalina Maizan, beliau terkejut ketika dimaklumkan mengenai penyebaran berita palsu tersebut kerana beliau kini berada di Kota Baharu, Kelantan untuk membuat liputan sidang Muktamar Dewan Muslimat Pas.

 Katanya setelah meneliti berita tersebut, beliau memaklumkan kepada pihak atasan Bernama dan kemudiannya membuat laporan kepada SKMM selain akan membuat laporan polis selepas ini.  

"Disebabkan itu saya membuat penafian ini bagi menjernihkan keadaan dan menjaga nama baik Bernama yang sentiasa mematuhi etika kewartawanan," katanya.  

Pada 11 Mac lalu, Zalina Maizan membuat laporan polis berkaitan artikel bertajuk 'Rosli Sedia Jadi Penggerak Puteri Umno Terengganu' dan pada 20 April lalu, laporan polis kali kedua dibuat berkaitan artikel 'Pas Terengganu Siap Sedia Hadapi Pilihan Raya Negeri'.  

Beliau sekali lagi membuat laporan polis pada 4 Mei berhubung artikel yang bertajuk 'Umno Terengganu Berdepan Laluan Sukar Hadapi Pilihan Raya-Veteran', pada 16 Mei mengenai berita bertajuk 'Najib Tangguh Lawatan Rasmi ke Terengganu' dan "SKMM Tahan Empat Individu Kes Sebar Berita Palsu.' - Bernama

Tiada ulasan: