Selasa, 14 Jun 2016

Azmin turun ke Sungai Besar mulai hari ini, lengkap sudah sokongan untuk Amanah

BORHAN AHMAD 


Azmin memeluk Presiden Amanah, Mohamad Sabu ketika hari penamaan calon Sungai Besar. Turunnya Azmin berkempen melengkapkan sokongan padu untuk calon Amanah. Gambar Malaysiakini.Azmin memeluk Presiden Amanah, Mohamad Sabu ketika hari penamaan calon Sungai Besar. Turunnya Azmin berkempen melengkapkan sokongan padu untuk calon Amanah. Gambar Malaysiakini.


Setelah mengadakan perbincangan dengan pimpinan kanan PKR dan Dr. Dzulkifli Ahmad, Pengarah Strategi Parti Amanah Negara semalam,  Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan turun membantu kempen calon Pakatan Harapan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar mulai hari ini.

Beliau akan turun ke Sungai Besar pada hari ini, 14 Jun 2016 dan pada hari Jumaat, 17 Jun 2016 manakala akan ke Kuala Kangsar pada hari Khamis, 16 Jun 2016 untuk bersama-sama menggembleng kekuatan dan berkempen untuk calon-calon Pakatan Harapan, kata naib presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Pengumuman orang kanan Azmin ini melegakan kem Pakatan Harapan di kedua-dua pilihan raya kecil itu terutama di Sungai Besar kerana Azmin mempunyai pengaruh tersendiri selaku menteri besar.

Dengan turunnya Azmin lengkaplah sudah sokongan padu semua pihak terhadap calon Amanah dari Pakatan Harapan melawan Barisan Nasional (BN) dan sekutunya.

Menurut Shamsul, Azmin mempunyai jadual padat selaku menteri besar yang perlu mengiringi DYMM Sultan Selangor bertemu rakyat sepanjang bulan Ramadhan.

"Walau bagaimanapun beliau tetap komited dalam mencari ruang serta mengendalikan masa dalam mengimbangi tugas rasmi beliau sebagai seorang pentadbir tertinggi negeri dan juga sebagai pimpinan utama Pakatan Harapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, beliau  tegaskan PKR tetap komited untuk memastikan kemenangan kedua-dua calon Pakatan Harapan yang bertanding di Sungai Besar.

Kehadiran Azmin bermula hari ini, katanya, pasti akan memperkukuh semangat dan gerak kerja jentera pilihan raya dan ditambah pula dengan komitmen luar biasa Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta barisan Naib Presiden seperti Nurul Izzah, Tian Chua dan Dr. Xavier Jayakumar serta pimpinan PKR di semua peringkat yang berganding bahu membantu kempen Pakatan Harapan.






Tiada ulasan: