Selasa, 14 Jun 2016

Azmin sokong AMANAH, doakan PAS berjaya

 
"Saya doakan dia terus maju untuk sama-sama untuk dalam satu tekad kezaliman di Putrajaya," kata Azmin



Azmin-Ali_selangor_talk


SUNGAI BESAR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tampil di Sungai Besar malam tadi dan menyatakan sokongannya kepada calon Pakatan Harapan, Azhar Abdul Shukur daripada AMANAH.

Ketidakhadiran Timbalan Presiden PKR sepanjang tempoh berkempen setakat ini mengundang pelbagai tanda-tanya dan telah mencetuskan pelbagai spekulasi dan kritikan.

Tidak terhenti di situ, Azmin turut mengambil peluang menemukan Azhar dan calon PAS, Dr Abdul Rani Osman dalam satu majlis berbuka puasa.

Kepada jaguh PAS untuk PRK Sungai Besar, Azmin mengucapkan semoga berjaya dalam pilihan raya kali ini.

“Sahabat saya Rani jangan bersedih…kita sahabat dalam DUN. Beliau banyak beri sokongan pada dasar kerajaan negeri sejak tahun 2008.

“Saya doakan dia terus maju untuk sama-sama untuk dalam satu tekad kezaliman di Putrajaya. Kita kena runtuhkan Putrajaya tanpa mengira latar belakang politik,” kata Azmin disambut tepukan gemuruh hadirin.

Rani dalam ucapannya selepas itu berkata beliau menyambut pelawaan Azmin ke majlis berbuka puasa ini atas dasar hubungan seorang ADUN menghormati seorang Menteri Besar.

Azmin sebelum ini dilaporkan tersepit antara AMANAH, yang merupakan komponen Pakatan Harapan bersama DAP dan PKR, dan PAS, iaitu komponen penting dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Ini merupakan kali pertama Azmin turun membantu kempen Pakatan Harapan. Sebelum ini, beliau hanya turun pada sesi penamaan calon.

“Saya akan datang lagi pada hari Jumaat di Sungai Besar dan Khamis di Kuala Kangsar,” katanya.

Azmin sempat menjawab kritikan yang dilontarkan ekoran ketidakhadiran beliau di lapangan kempen.

“Sebelum ini Khairy Jamaluddin tanya saya mana Azmin Ali: Dia tidak datang maknanya dia tak sokong Amanah dan Pakatan Rakyat.

“Ini pemikiran UMNO, saya tidak payah pulun untuk kerja di Sungai Besar semata-mata kerana PKR. Ini cara UMNO. Bila ada PRK baru hendak turun bantu orang kampung dan rakyat desa,” jawab Azmin.

Tiada ulasan: