Sabtu, 11 Jun 2016

Azmin ada komitmen lain sebab itu tidak ikut berkempen - PKR

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar
Post Pic
 
 
SUNGAI BESAR: Seorang pemimpin PKR mempertahankan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang gagal turun padang membantu kempen calon Parti Amanah Negara (PAN), Azhar Abdul Shukor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar kali ini.
 
Menurut Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Azmin terikat dengan pelbagai komitmen lain justeru tidak berkesempatan untuk turut sama berkempen untuk wakil pakatan Harapan itu.
 
Shamsul berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bahawa kegagalan Azmin mengiringi calon PAN itu membayangkan beliau tidak merestui pencalonan bekas guru sekolah bagi mewakili Pakatan Harapan.
 
Khairy juga mendakwa Azmin sebagai tidak mahu memberikan komitmen terhadap pengundi di Sungai Besar.
 
"Apakah beliau tidak nampak yang hadir pada hari penamaan calon adalah MB Selangor? Malah tiap malam MB ada program dengan Sultan Selangor, kemudian kalau tak hadir kata kita menghina raja-raja Melayu," kata Shamsul ketika hadir di Ceramah Umum Pakatan Harapan (PH) di Restoren Kuala Kurau, malam tadi.
 
Sebelum itu, ketiadaan kelibat Azmin sepanjang tempoh seminggu pertama kempen PRK Sungai Besar bagi membantu calon PAN menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan pelbagai pihak.
 
Bukan itu sahaja, Azmin juga tidak turun padang dalam membantu calon PAS, Dr Abdul Rani Osman, sebagai 'tanda' menghargai kerjasama yang dijalinkan antara PKR-PAS-DAP dalam kerajaan negeri.
 
Bagaimanapun, Azmin tidak menghadiri program pengumuman nama Azhar sebagai calon Pakatan Harapan selepas diminta berbuat demikian oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bagi menjaga sensitiviti rakan tahalus siyasinya, PAS.
 
PRK Sungai Besar kali ini, PAS turut meletakkan calon walaupun dimnta beralah dan tidak bertanding merebut kerusi Parlimen itu.
 
PAS bagaimanapun nekad untuk meletakkan calonnya berikutan, kerusi Parlimen Sungai Besar adalah kerusi tradisinya pada dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Tiada ulasan: