Rabu, 8 Jun 2016

Azhar tidur empat jam sehari‎

Saya tidur empat jam sehari: Azhar
Azhar (empat, kiri) menyediakan bacang halal di pekan Sekinchan, semalam.


SUNGAI BESAR - “Saya tidur empat ke lima jam sehari,” demikian kata calon Amanah pada PRK Parlimen Sungai Besar, Azhar Ab Shukor sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

Namun begitu, kepenatan tersebut tidak dirasai apabila turun ke lapangan untuk bertemu dan mendengar masalah yang dihadapi oleh masyarakat di kawasan tersebut.

“Kempen dan pilihan raya berlangsung di bulan Ramadan dan ia merupakan suatu yang mencabar ketahanan emosi dan badan seseorang itu.

“Saya lebih bersemangat bila memikirkan perjuangan ini (perjuangan untuk rakyat),” katanya selepas ditemui pada Pelancaran Bacang Halal di pekan Sekinchan, semalam.

Ditanya adakah benar kebanyakan masyarakat di Sungai Besar belum mengenali Amanah sepanjang beliau berkempen, Azhar berkata, ada sesetengah penduduk bertanyakan adakah Amanah itu Pas baharu.

“Jadi saya terangkan kepada penduduk kampung dan Insya-ALLAH mereka bersama kita. Ini tugas kita untuk menerangkan bahawa Amanah ini adalah sebuah parti bersama Pakatan Harapan,” katanya.

Ditanya lagi mengenai penerimaan masyarakat Cina di Sekinchan terhadap Amanah, Azhar berkata, bukan sahaja masyarakat Cina di Sekinchan malah, orang Melayu di Sungai Panjang turut memberi respons positif kepada kempen Amanah.

“Sepanjang kempen saya, mereka (masyarakat Cina) di Sungai Besar menerima kedatangan saya dengan begitu baik,” katanya.


Tiada ulasan: