Khamis, 16 Jun 2016

Apakah Zahid hilang pertimbangan biarkan Anwar yang sakit dalam penjara

BORHAN AHMAD
 
 
Anwar dibawa ke hospital selepas menderita sakit tulang belakang kesan dibelasah oleh bekas ketua polis negara.Anwar dibawa ke hospital selepas menderita sakit tulang belakang kesan dibelasah oleh bekas ketua polis negara.


Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mempersoalkan apakah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi hilang pertimbangan kemanusiaan terhadap insan yang bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya kerana beliau berlainan fahaman politik?

"Sekiranya tidak, maka secara minima Datuk Seri Anwar wajib ditahan di hospital," kata anak Anwar, Nurul Izzah Anwar dalam kenyataan bersama seorang lagi naib presiden PKR, Chuan Tian Chan atau Tian Chua.

Izzah menimbulkan persoalan itu ekoran Anwar terpaksa dikejarkan ke hospital hari ini.

Nurul IzzahNurul IzzahDatuk Seri Anwar Ibrahim dikejarkan ke hospital hari ini kerana mengalami sakit belakang di tempat yang sama iaitu bahagian L4 L5 – bahagian yang sama yang mengakibatkan beliau menjalani pembedahan mikro di Munich, Jerman pada 2004.

Hari ini merupakan hari ke-491 hari beliau dipenjarakan untuk kali ke-empat sebagai tahanan politik di Malaysia.

Pihak keluarga dan peguam telah mengemukakan jawapan balas berkait tawaran semula Datuk Seri Zahid Hamidi supaya pakar perubatan luar negara datang ke Malaysia untuk menjalankan pembedahan.

Tawaran yang dibuat oleh Datuk Seri Zahid Hamidi di dalam Dewan Rakyat pada 12 November 2015 ternyata hambar apabila penjagaan Datuk Seri Anwar sepenuhnya di hospital pun belum mampu dilunaskan, katanya.

Menurut mereka, para pakar yang bertanggungjawab menyatakan peralatan serta kelengkapan hospital tidak mencukupi.

Tambahan serangan politik berterusan  pihak pemerintah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak tahun 1998 mengeruhkan lagi suasana buat doktor dalam memastikan proses pemulihan beliau berjalan lancar, katanya.

Walaupun makluman balas telah diberi kepada Datuk Seri Zahid Hamidi, mewakili kerajaan Malaysia, namun kerajaan dilihat lepas tangan, katanya.

Bahkan, menurut mereka, pihak keluarga juga turut mohon agar beliau dimasukkan dan ditahan di hospital, namun kerajaan enggan membenarkan ruang jagaan sedemikian untuk mengubat sakit yang dihadapi Datuk Seri Anwar.

Yang diluluskan sekadar rawatan dan pemeriksaan beberapa hari sebelum dihantar pulang ke penjara.
Bagi Nurul dan Tian Chua, kerajaan BN bertangggungjawab di atas kecederaan Anwar kerana sebelum tahun 2000, sebuah Siasatan Suruhanjaya Diraja  ke atas mata lebam Datuk Seri Anwar telah memutuskan bahawa Tan Sri Rahim Noor, Ketua Polis Negara bersalah kerana memukul Datuk Seri Anwar sedang Datuk Seri Anwar digari dan ditutup matanya, pada malam yang sama beliau ditangkap pada 20 September 1998.

Suruhanjaya DiRaja tersebut memutuskan Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor bersalah dan akhirnya didenda RM 2,000 dan penjara 2 bulan. Hukuman penjara dikekalkan pasca rayuan.

"Hal ini jelas menunjukkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dimangsakan di bawah pemerintahan kerajaan BN dan menanggung kesakitan sehingga ke saat ini," kata kenyataan mereka berdua.

Anwar sehingga kini terus mengalami kesakitan yang sama di bahagian belakang dan bahu kanan; beserta tekanan darah tinggi yang tidak menentu.

Bagi mereka, kerajaan sering berselindung dengan jumlah rawatan yang diterima oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah memadai bahkan bersifat ‘istimewa’ dan melebihi layanan yang diberikan kepada banduan lain.

"Saya ingin mempersoalkan, jika jumlah rawatan yang diterima tidak membantu meningkatkan tahap kesihatan beliau, adakah ini bukti jelas bahawa rawatan yang diberikan adalah tidak memadai?

"Tambahan pula, tanpa penglibatan panel dan doktor pakar yang arif berkenaan kesakitan berulang beliau, dikhuatiri kelewatan akses rawatan ditambah pula dengan kondisi sel tahanan yang tidak sesuai bakal memburukkan lagi kesihatan beliau," kata kenyataan itu.

Penahanan Anwar dikecam Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu tetapi ia tidak menjadi seperti kes mantan Menteri Besar Selangor yang boleh pula dibebaskan melalui parol.

Tiada ulasan: