Khamis, 16 Jun 2016

Amanah cabar calon BN nyatakan rakyat punca harga naik bukan Rosmah boros

ARIF ATAN
 
 

Sidang media Pakatan Harapan di Sungai Besar hari iniSidang media Pakatan Harapan di Sungai Besar hari ini


Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Budiman Zohdi dicabar menyatakan pendiriannya sama ada bersetuju bahawa rakyat penyebab berlakunya kenaikan harga barangan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, kerajaan hanya menyalahkan rakyat berhubung kenaikan kos barangan walaupun berpunca daripada polisi kerajaan.

"Kita nak minta dia (Budiman) setuju atau tidak peningkatan harga barang kerana rakyat boros bukan Rosmah yang boros," bidasnya.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Pengarah Biro Tatanegara (BTN) Datuk Ibrahim Saad semalam kononnya peningkatan harga barangan disebabkan sikap pengguna di negara ini bukannya berpunca daripada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

"Ini pendekatan salahkan rakyat. Tak hairanlah menteri-menteri (juga buat kenyataan seperti) begitu," ujarnya.

Khalid selanjutnya menggesa supaya Budiman turut menjelaskan perancangan untuk menangani bebanan kos dialami rakyat.

"Apa sebenarnya yang dia (Budiman) nak buat untuk bantu rakyat mengurangkan kos hidup?" soalnya dalam sidang media di Pejabat Amanah Sungai Besar hari ini.

Sementara itu, Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan GST serentak dengan penarikan subsidi barangan keperluan dan utilities sehingga mencetuskan peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP).

"Jadi, Ketua Pengarah BTN harap faham. Jangan persalahkan perbelanjaan rakyat jelata dengan kenaikan kos akibat GST dan penarikan subsidi," tambahnya lagi.

Ibrahim bercakap pada program Wacana Isu Semasa Negara Bersama Penjawat Awam yang turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah E8, Counter Terrorism, PDRM Datuk Ayob Mydin Pitchay dan Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Tiada ulasan: