Ahad, 12 Jun 2016

‘Ada ahli parti lawan turut sokong saya’

‘Ada ahli parti lawan turut sokong saya’
 
 
 
SUNGAI BESAR - Calon Parti Amanah Negara (Amanah) PRK Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur mendedahkan ada ahli parti lawan yang memberikan sokongan kepadanya.

Katanya, ahli parti lawan itu telah berjumpa sendiri dengan beliau dan menyatakan sokongan mereka secara peribadi pada Amanah.

“Semasa saya berkempen di beberapa buah tempat di Sungai Besar ada beberapa pemimpin parti lawan telah bertemu dengan saya untuk menyatakan sokongan pada saya dengan harapan Amanah menang di Sungai Besar nanti,” katanya ketika berucap dalam sesi ceramah kelompok Pakatan Harapan, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Azhar berkata, ahli parti lawan  yang menemui beliau itu tidak dapat menyatakan perkara tersebut secara terbuka kerana masing-masing masih terikat dengan keahlian parti.

“Saya yakin ada ramai lagi ahli parti lawan yang berada di luar sana itu  menyokong Amanah dan akan membantu kemenangan kami di sini nanti,” katanya.

Sementara itu, Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, DAP bersungguh-sungguh membantu kempen Amanah kerana parti berkenaan berada dalam keluarga besar Pakatan Harapan.

“Kalau Amanah menang bermakna PKR dan DAP  menang dan Pakatan Harapan juga menang.

“Kalau ada yang tak faham mereka kena belajar lagi kenapa DAP kempen kuat untuk Amanah,” katanya.


Tiada ulasan: