Jumaat, 10 Jun 2016

4 mangsa culik masih di Sabah ambil keterangan susulan

FREE MALAYSIA TODAY


Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun menafikan empat pemuda dari Sibu, Sarawak itu dibawa ke Bukit Aman untuk diambil keterangan.


Sabah


KOTA KINABALU: Empat mangsa culik dari Sarawak yang dibebaskan kumpulan militan Abu Sayyaf masih berada di Sabah untuk diambil keterangan susulan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer berkata, pihaknya telah mengambil keterangan daripada semua mangsa culik itu sejak semalam sejurus mereka tiba di Kota Kinabalu.

“Sekarang kita masih membuat siasatan susulan dan kita berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi (mengenai pembebasan mangsa) yang boleh mengelirukan orang ramai,” katanya.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu berkata demikian selepas majlis penyerahan kuih raya kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini.

Keempat-empat mangsa culik itu ialah adik-beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, serta seorang lagi anak kapal bot tunda, Wong Hung Sing, 34, yang diculik di perairan Pulau Ligitan, Semporna pada 1 April lepas.

Sementara itu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun menafikan empat pemuda dari Sibu, Sarawak itu dibawa ke Bukit Aman untuk diambil keterangan.

“Tidak ada keperluan untuk bawa mereka (empat warga Malaysia) ke Bukit Aman kerana mereka sekarang berada di Kota Kinabalu, Sabah untuk diambil keterangan berkaitan perkara-perkara berhubung insiden penculikan itu dan melengkapkan siasatan polis,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan portal berita, The Borneo Post Sabah yang mendakwa kesemua mereka dibawa ke Bukit Aman pagi tadi untuk diambil keterangan.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kesemua mereka dibebaskan pada awal pagi Rabu lepas dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Selepas berjumpa dengan ahli keluarga dan selesai menjalani pemeriksaan kesihatan di Sandakan semalam, empat mangsa culik itu diterbangkan ke Kota Kinabalu dengan menaiki pesawat PDRM.– BERNAMA

Tiada ulasan: