Sabtu, 20 Februari 2016

Wakil Sarawak serba salah jika jadi calon langsung BN, kata sumber



Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Datuk Seri Wong Soon Koh (tengah) tidak boleh menyertai semula parti asal beliau jika dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri Sarawak nanti. – Gambar fail The Malaysian Insider , 20 Februari, 2016.Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Datuk Seri Wong Soon Koh (tengah) tidak boleh menyertai semula parti asal beliau jika dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri Sarawak nanti. – Gambar fail The Malaysian Insider . 
 
 
Penyandang daripada kedua-dua parti pro Barisan Nasional (BN) di Sarawak akan berada dalam keadaan serba salah jika dipilih sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi mereka dalam pilihan raya negeri akan datang, menurut sumber dalaman parti.

Sumber berkata, jika penyandang daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) dipilih sebagai calon BN, salah satu syaratnya ialah mereka perlu meletak jawatan daripada parti mereka.

UPP dan Teras adalah serpihan daripada parti BN, masing-masing dari Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

"Dan jika mereka menang, mereka hanya mempunyai pilihan untuk menyertai mana-mana satu daripada 4 parti yang membentuk kerajaan BN - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), SUPP dan SPDP.  
 
"Mereka tidak boleh menyertai semula parti asal mereka," kata sumber itu yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

"Untuk bertanding sebagai calon langsung BN, tidak logik dan tidak betul daripada segi politik, sekiranya mereka ahli parti selain BN," kata sumber itu.

Dalam senario seperti itu, Presiden UPP yang juga Menteri Kewangan Kedua negeri Datuk Seri Wong Soon Koh dan Presiden Teras Tan Sri William Mawan, mungkin akan terperangkap dalam keadaan serba salah jika mereka dipilih mempertahankan kerusi mereka.

Wong, yang menubuhkan UPP selepas tewas dalam pemilihan SUPP pada 2011 dan Adun Bawang Assan, yang diwakilinya sejak 1991, mungkin terpaksa melakukan sesuatu yang tidak terfikir – melepaskan jawatan presidennya.

Mawan, menteri pembangunan sosial negeri dan Adun Pakan, kerusi dipegangnya sejak 1991, juga mungkin terpaksa melalui keadaan sama.

Ketika Wong berpisah daripada SUPP, semua Adunnya – Ranum Mina (Opar), Datuk Dr Jerip Susil (Bengoh), Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang), Johnicol Rayong (Engkilili) dan Datuk Lee Kim Shin (Senadin) – mengikutinya. Bagaimanapun, Harden dan Lee kemudiannya kembali kepada SUPP.

Dalam situasi hampir sama, 5 Adun SPDP keluar parti itu pada Februari tahun lalu untuk menyertai Mawan di Teras.

Mawan keluar daripada SPDP kerana dilaporkan berdepan celaan kerana menerima kembali ahli yang dibuang tanpa persetujuan majlis tertinggi.

Enam Adun Teras itu ialah timbalan presiden Datuk Peter Nansian Ngusie (Tasik Biru), Wong Judat (Meluan), Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus(Bekenu), Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) dan Pertanian (Pertubuhan Peladang) Datuk Sylvester Entri Muran (Marudi), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Mawan di Pakan.

Judat meletak jawatan dalam parti pada 2013 untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU). Beliau kemudian menyertai parti kecil Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem baru-baru ini berkata beliau mempertimbangkan idea meletakkan calon langsung BN di kerusi yang jadi rebutan SUPP, SPDP dan parti serpihan UPP dan Teras. BN meletakkan “calon langsung” bukan perkara baharu.

Pada PRU 1990, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk James Dawos Mamit bertanding sebagai calon langsung di Mambong dan menang.

Ahli Parlimen 5 penggal Datuk Billy Abit Joo melakukan perkara serupa di Hulu Rajang pada PRU yang sama, dan beliau turut menang.

Dawos kemudian memilih untuk menyertai PBB, sementara Abit pilih PRS


Tiada ulasan: