Selasa, 23 Februari 2016

‘Tak perlu sekat Muhyiddin, ambil saja tindakan disiplin’

 
 
 
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Tan Sri Abdul Aziz Rahman melihat tidak ada keperluan menyekat Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada menjalankan tugasnya sebagai timbalan presiden parti seperti yang didakwanya.

Sebaliknya, kata beliau, jika Muhyiddin melakukan sesuatu yang bercanggah dengan perlembagaan parti, beliau bukan sahaja disaran berhenti tetapi perlu berdepan dengan jawatankuasa disiplin Umno.

“Setiap kepimpinan Umno mempunyai peranan masing-masing seperti mana yang tertakluk dalam perlembagaan parti. Tidak timbul soal mereka disekat atau dihalang melakukan tugas dan saya rasa ia tidak perlu disekat.

“Sekiranya pemegang jawatan tersebut melakukan apa saja perkara yang bercanggah dengan perlembagaan parti mereka bukan sahaja disaran agar berhenti bahkan tindakan disiplin perlu diambil lebih-lebih lagi jika ia menggugat kedudukan parti,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Muhyiddin pada Sabtu lalu ketika berucap pada satu majlis di Port Dickson mengingatkan MT Umno supaya jangan sekali-kali berani untuk mengambil tindakan terhadapnya jika tidak mempunyai bukti.

"Saya nak ingatkan setiausaha agung dan semua yang berada di atas, jangan berani-berani mahu ambil tindakan ke atas saya melainkan cukup bukti menyatakan apa saja yang saya lakukan salah dari segi pandangan dan perlembagaan," katanya.

Berikutan kenyataan itu anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau akan membuat cadangan pada mesyuarat tertinggi (MT) parti akan datang agar Tan Sri Muhyiddin Yassin dihadapakan ke jawatankuasa displin parti itu jika enggan melepaskan jawatan secara sukarela.

Nazri berkata, cadangan tersebut timbul berikutan serangan berterusan Muhyiddin yang dianggap melampau ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga adalah presiden Umno.

Muhyiddin digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri pada Julai 2015 selepas menyuarakan pandangan kritikal terhadap operasi 1MDB dan ‘derma’ RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi Najib.
 


 

Tiada ulasan: