Khamis, 11 Februari 2016

‘Tak perlu kecoh, itu hanya tuduhan rambang'


Noh Omar
Noh Omar
 
 
SHAH ALAM – Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan parti itu yang dikeluarkan Penolong Setiausaha Umno cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Jamalulail menyentuh kepimpinan negeri.

Menurutnya, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada Ketua Bahagian Pandan untuk menjelaskan dakwaan yang dikeluarkan oleh Rosli dalam sebuah portal, semalam.

“Itu masalah cawangan, jadi biarlah ketua bahagian yang memberikan penjelasan mengenai dakwaan itu.

“Kalau setiausaha atau ketua bahagian yang membuat dakwaan tersebut barulah saya boleh berikan komen,” katanya.

Syed Rosli mendakwa Umno Selangor berisiko hilang sokongan jika semua pemimpin di peringkat cawangan sehingga pusat hanya memikirkan projek untuk kepentingan peribadi dan membelakangkan tanggungjawab hakiki memberi khidmat kepada rakyat.

Menurutnya dalam satu portal berita, sifat ego, pentingkan diri sendiri serta mempunyai masalah kepimpinan hanya menjadikan pengundi sesebuah negeri terutama yang dikuasai pembangkang akan terus melupakan parti serta Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Adun Kuang, Datuk Zein Isma Ismail berkata, Umno Selangor masih lagi mendapat sokongan rakyat walaupun parti berkenaan tidak berjaya menubuhkan kerajaan di negeri ini selama dua penggal berturut-turut.

Beliau berkata, masih ada lagi wakil di dalam parti yang mendapat sokongan rakyat sehingga mereka dipilih menjadi pemimpin.

“Memang kita mengaku Umno kalah di Selangor tetapi bukan kalah semua kerana masih ada lagi wakil Umno yang memimpin di peringkat Dun dan Parlimen.

“Menang kalah adalah perkara biasa tetapi ia tak bererti kita kalah selama-lamanya dan lagipun negara kita masih dipimpin oleh Umno,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas dakwaan yang mengatakan UMNO Selangor berisiko hilang sokongan jika semua pemimpin di peringkat cawangan  sehingga pusat hanya memikirkan projek untuk kepentingan peribadi berbanding tanggungjawab kepada rakyat, Shukor berkata, dakwaan tersebut bersifat tuduhan rambang dan tidak mempunyai asas.

Katanya, Rosli sepatutnya tujukan dakwaan berkenaan kepada individu tertentu supaya apa yang dimaksudkan difahami oleh semua pihak.

“Kalau begini kenyataan yang dikeluarkannya kita pun tak faham apa yang cuba disampaikannya.

“Dia perlu sebut nama individu tertentu untuk menyokong dakwaannya itu kerana ia lebih baik daripada melakukan tuduhan secara rambang seperti ini,” katanya.

Beliau yang juga Adun Kuang berkata, Rosli boleh menyertai pembangkang jika dia terus mengkritik parti secara rambang seperti ini.

“Lebih baik dia jadi pembangkang kalau tak boleh nak berbaik dengan pimpinan dan ahli di dalam parti.

“Senang kita nak berdepan dengannya nanti,” katanya.


Tiada ulasan: