Isnin, 8 Februari 2016

SUPP mahu bertanding 21 kerusi DUN Sarawak

BERNAMA




Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berhasrat bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang.

Dalam kenyataan di Kuching hari ini, Presiden SUPP Senator Datuk Prof Dr Sim Kui Hian mengumumkan kumpulan pertama 16 calon 'berwibawa dan boleh menang' untuk pilihan raya tersebut.

Dr Sim berkata SUPP amat menyedari bahawa parti itu perlu kuat untuk mengukuhkan kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan Barisan Nasional (BN) Sarawak.

"Dalam hal ini, SUPP telah mengenal pasti 21 calon berwibawa dan boleh menang untuk pilihan raya negeri.

"Justeru, SUPP mengambil kesempatan sempena Tahun Baru Cina yang meriah dan baik ini untuk mengumumkan calonnya bagi 16 kerusi majoriti kaum Cina kepada Pasukan Adenan dalam rangka kerja BN Sarawak," kata kenyataan itu.

Dr Sim, pakar kardiologi yang kini ahli politik, berkata timbalan presiden parti Datuk Seri Richard Riot Jaem akan mengumumkan calon untuk lima kerusi majoriti kaum Bumiputera.

"Ini termasuk satu kerusi baharu diperuntukkan kepada SUPP di bawah formula perkongsian yang akan diumumkan bersama dengan saya dalam masa terdekat. Datuk Francis Harden Hollis akan mewakili N32. Simanggang sebagai penyandang," katanya.

Dalam senarai calon berwibawa dan boleh menang yang dikeluarkan hari ini, Dr Sim yang merupakan anak kepada bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Sim Kheng Hong, dijangka bertanding kerusi Batu Kawa atau Batu Kitang.

Selain Dr sim, dua lagi calon berwibawa dan boleh menang untuk kerusi DUN Batu Kawa atau Batu Kitang adalah Tan Joo Phoi dan Lo Khere Chiang

SUPP juga mengumumkan Robert Lau Hui Yew sebagai calon kerusi Bawang Assan, yang kini diwakili Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Datuk Seri Wong Soon Koh. UPP ialah parti serpihan SUPP.

SENARAI PENUH CALON

N9. Padungan : (Diumumkan kemudian)
N10. Pending : Milton Foo
N11. Batu Lintang : Sih Hua Tong
N12. Kota Sentosa : Wifred Yap
N14. Batu Kawa : Tan Joo Phoi/Lo Khere Chiang/Dr Sim Kui Hian
N13. Batu Kitang : Lo Khere Chiang/Tan Joo Phoi/Dr Sim Kui Hian
N45. Repok : Teng Ung Wu
N46. Meradong : Ding Kuong Hiing
N51. Bukit Assek : Chieng Buong Toon
N52. Dudong : Datuk Seri Lee Chung Fatt @ Benny
N53. Bawang Assan : Robert Lau Hui Yew
N54. Pelawan : Michael Tiang
N68. Tanjung Batu : Soo Li Ching
N73. Piasau : Sebastian Ting Chiew Yew
N74. Pujut : Adam Yii Siew Sang
N75. Senadin : Datuk Lee Kim Shin
-Bernama


Tiada ulasan: