Rabu, 17 Februari 2016

Sumbangan duta China pada SRJK (C) pula tarik perhatian

Adrian Wong

 


ANALISIS Selepas lawatan kontroversinya ke Jalan Petaling tahun lepas, sumbangan RM40,000 oleh Duta Besar China ke Malaysia, Huang Huikang kepada lapan Sekoleh Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK Cina) pula telah menarik perhatian.

Sekolah-sekolah tersebut terletak dalam kawasan Parlimen Sembrong di Johor dan sumbangan itu dibuat semasa lawatannya ke sebuah bandar kecil berhampiran - Paloh.

Menurut akhbar berbahasa Cina, Huang telah dijemput oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga ahli Parlimen Sembrong, untuk menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di situ Ahad lepas.

Huang menyerahkan cek sumbangan untuk sekolah-sekolah tersebut kepada ADUN MCA Paloh, Teoh Yap Kun, dengan disaksikan oleh Hishammuddin dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong.

Kedua-duanya mengalu-alukan sumbangan itu dengan tepukan dan senyuman.

Bagaimanapun, ada yang merasakan sumbangan itu "yang tidak pernah berlaku sebelum ini" oleh seorang duta asing kepada sekolah Cina tempatan, mungkin terikat dengan pertimbangan strategik oleh sesebuah kuasa asing.

Bagi penganalisis politik Tang Ah Chai, sumbangan berprofil tinggi oleh duta tersebut adalah satu isyarat mesra "wow" masyarakat Cina dan mungkin juga "saranan" kepada kerajaan Malaysia untuk ikut jejak.

Berikutan kebangkitan China sebagai sebuah kuasa ekonomi, Tang berkata, China menghadapi persaingan sengit dari Amerika Syarikat dan Jepun, dan telah bertindak balas dengan secara aktif mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti masyarakat Cina di luar negara melalui kedutaannya.

Mengetahui bahawa masyarakat Cina amat prihatin dengan pendidikan tetapi kurang sokongan kerajaan, Huang memberi sumbangan kepada SJKC dalam usaha untuk memenangi hati mereka, katanya.

"Selepas melawat Petaling Street, duta itu pergi ke Pulau Pinang. Bukan sahaja Ketua Menteri Lim Guan Eng bertemu dengan beliau, tetapi juga bekas Ketua Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon. Ini menunjukkan Huang menjaga hubungan dengan kedua-dua belah pihak.

"Beliau juga telah melawat sekolah persendirian Cina di seluruh negara. Dalam lawatan beliau ke Sekolah Tinggi Chong Hwa di Kuala Lumpur, Huang berkata China boleh memberi sokongan kepada pelajar yang belajar di republik itu.

"Ini boleh dilihat sebagai satu peringatan halus bahawa kerajaan perlu memberi layanan yang adil kepada pendidikan Cina.

"Dia menggunakan cara yang lembut untuk mengingatkan mereka, sambil mengukuhkan hubungan antara masyarakat di China dengan masyarakat Cina Malaysia," kata Tang.

Tiada ulasan: