Rabu, 24 Februari 2016

SOALAN-SOALAN UNTUK NAJIB

shahbudindot.com


Adakah menjadi kesalahan bagi Muhyiddin Yassin bersuara di luar, selain daripada dalam mesyuarat MT UMNO?

Apakah Muhyiddin, walaupun masih berjawatan nombor dua dalam parti, tetapi telah digugurkan daripada kedudukan dalam kerajaan, hanya perlu diam dan tidak perlu lagi berkata apa-apa, terutama membuat teguran kepada pemimpin, parti dan negara?

Apakah Muhyiddin hanya boleh bercakap dan bersuara dalam mesyuarat MT UMNO saja, tetapi tidak dalam program-program parti dan kemasyarakatan yang lain?

Jika Muhyiddin hanya boleh bercakap dalam mesyuarat atau dalam perjumpaan tertutup kepada ahli-ahli UMNO sahaja, mengapa beliau dilarang merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri serta penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO yang lalu?

Mengapa juga mesyuarat pelbagai jawatankuasa yang biasa dipengerusikannya sebelum ini atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden UMNO, turut dibekukan sebaik jawatannya dalam kerajaan dilucutkan?

Berbanding Muhyiddin yang bercakap dengan ikhlas, jujur serta dengan niat menegakkan kebenaran, apakah ia lebih buruk daripada pemimpin-pemimpin UMNO lain yang berbunga-bunga memuji Perdana Menteri, tetapi semuanya adalah pujian palsu terutama berkaitan wang RM2,600 juta dan dana RM42 juta daripada SRC International yang secara umumnya budak-budak sekolah pun benar atau salah mengenainya?

Apakah jika ingin mengkritik dan memperkatakan sesuatu kebenaran, ia mesti dilakukan dalam mesyuarat MT saja, manakala jika ingin memuji, menggilap dan melambung Perdana Menteri, ia sebebasnya boleh dilakukan secara terbuka?

Demi keadilan, bukankah jika mengkritik secara terbuka tidak dibenarkan, maka memuji secara terbuka, lebih-lebih lagi pujian yang menyebabkan rakyat tertawa mendengarnya, seharusnya dianggap tidak beretika juga?

Akhirnya, jika Najib dapat memberi jawapan yang meyakinkan kepada semua persoalan ini, maka dipersilakanlah, terutama sempena sudah 40 tahun usianya bersepak-terajang dalam politik, sama ada menggantung jawatan, menggantung keahlian atau memecat terus keahlian Muhyiddin dalam mesyuarat MT akan datang ini. 

Nota: Tukang kipas, kaki bodek, pengampu, penerima dan pengharap dedak juga dipersilakan untuk tolong jawab bagi pihak Najib yang mereka kasihi itu.

Tiada ulasan: