Khamis, 11 Februari 2016

Skandal 1MDB: Kenapa PAC takut ambil keterangan Gabenor Bank Negara?

MP DAP PJ Utara Tony Pua

Oleh Hafiz Zainuddin


KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) PAC perlu memanggil beberapa individu lagi termasuk Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata ia berikutan mereka memiliki pengetahuan luas mengenai aktiviti 1MDB sekaligus memudahkan proses siasatan menyeluruh terhadap skandal 1MDB.

“Mustahak untuk memanggil Zeti dan pegawai Bank Negara lain kerana bank itu pada Oktober lalu membatal tiga kebenaran yang diberi kepada 1MDB untuk pelaburan luar negara berjumlah USD1.83 bilion.

“Bank Negara juga mengeluarkan arahan kepada 1.comMDB supaya membawa kembali USD1.83 bilion itu ke Malaysia dan meminta syarikat itu kemukakan cadangan untuk melaksanakan tujuan berkenaan,” katanya yang juga ahli jawatankuasa berkenaan.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Ariffin menyatakan PAC membuat keputusan menutup sisatan mereka selepas memanggil dua lagi saksi terakhir dengan mengecualikan Gabenor Bank Negara, sebagai saksi tambahan

Mengikut Hasan, dua saksi terakhir yang akan memberi keterangan pada 11 dan 12 Februari ini ialah bekas presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh

Terkejut kerana keputusan Hasan itu, Pua berkata mesyuarat PAC sebelum ini tidak pernah membincangkan mengenai isu tiada lagi saksi akan dipanggil dalam siasatan terhadap skandal 1MDB.

Beliau menyifatkan kegagalan PAC memanggil saksi penting bakal memberi tanggapan buruk kepada integriti badan berkenaan sekaligus menunjukkan wujud amalan bias dalam menangani skandal 1MDB.

“Perkara itu penting kerana kredibiliti dan integriti Parlimen PAC dipertaruh. Hanya kami satu-satunya institusi yang aktif jalankan siasatan terhadap skandal 1MDB. Rakyat bergantung kepada PAC untuk menjalankan tugas dengan baik tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

Mengenai Mohd Hazem, Pua berkata, kenyataannya penting kerana bon USD3 bilion terbitan melalui syarikat Goldman Sachs melalui usahasama dengan Aabar Investment PJS berpusat di Abu Dhabi berkali ketika individu itu memegang jawatan CEO 1MDB antara Mac 2013 hingga Januari 2015.

Katanya, Hazem juga bertanggungjawab terhadap pembelian tanah bermasalah di Pulau Pinang bernilai RM1.2 bilion dan kegagalan pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) bahagian tenaga. – Roketkini.com


Tiada ulasan: