Khamis, 11 Februari 2016

Sekolah tidak dipaksa laksanakan DLP – Menteri

 
DLP perlu mendapat persetujuan guru dan ibubapa dan sekolah berkenaan juga perlu memiliki pencapaian Bahasa Malaysia yang baik.


Mahdzir-Khalid_guru_600


PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sekali lagi menyangkal dakwaan bahawa Program Dwi Bahasa (DLP) akan diwajibkan di semua sekolah di seluruh negara.

Beliau berkata, buktinya apabila ada sekolah yang telah menolak tawaran kementerian untuk menjalankan program itu.

“Ada sekolah-sekolah yang kita tawarkan tetapi mereka tolak. Guru-guru dan ibu bapa berbincang dan kata tak mahu (DLP).

“Jadi program itu pun tak dibuat. Maknanya ia bukan arahan berbentuk paksaan kepada sekolah. Tiada siapa kata ‘mesti buat’,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau namun tidak menamakan sekolah-sekolah yang telah menolak program DLP.

Beliau mengulas kenyataan Gabungan Mansuh DLP baru-baru in yang mendakwa program itu akhirnya akan dilaksanakan di seluruh negara.

Menurut laporan sebuah portal pada 8 Februari lalu, gabungan yang antaranya dianggotai Gerakan Mansuhkan PPSMI dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut mendakwa DLP akan dilaksanakan di 10,000 sekolah pada tahun hadapan.

Mahdzir berkata, selain persetujuan guru dan ibubapa, sekolah yang ingin melaksanakan DLP perlu memiliki pencapaian Bahasa Malaysia yang baik.

“Saya dah sebut DLP bukan satu dasar, tapi hanya program. Tapi ramai yang salah faham bahawa ia satu dasar dan akan dilaksana di semua sekolah,” jelasnya.

Tiada ulasan: