Isnin, 8 Februari 2016

SAYA ORANG YANG SUKA BEKERJA, KATA SABBARUDDIN CHIK TENTANG TUGASNYA DI AMANAHRAYA

shahbudindotcom

 






Barangkali  ramai yang tidak sedar bahawa bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Sabbaruddin Chik sudah dilantik sebagai Pengerusi Amanahraya Berhad, mengganfikan Reezal Merican Naina Merican yang dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Menteri Luar Negeri sejak Julai tahun lalu.

Tanpa angin,  tanpa ribut dan dalam diam-diam, Sabbaruddin sebenarnya sudah pun memulakan tugas barunya itu hampir sebulan yang lalu.

Beliau tidak pernah meminta atau melobi sebarang jawatan dan secara tiba-tiba saja menerima panggilan daripada Putrajaya mengenai tawaran itu. 

Secara spesifiknya, Perdana Menteri, Najib Razaklah yang memberikan jawatan itu kepadanya.

Bagi Sabbaruddin, beliau menerima tanggunggawab yang diberikan oleh Perdana Menteri itu sebagai amanah yang harus dilakukannya dengan sebaik mungkin.

"Orang dah memberi, takkan saya nak tolak. Lagi pula, saya memang seorang yang suka bekerja.

"Tetapi dalam masa yang sama, saya sedar ada tanggungjawab dan kepercayaan yang harus saya laksanakan dengan sebaiknya di Amanahraya ini,"  kata Sabbaruddin ketika saya mengunjungi beliau di pejabatnya di Tingkat 15, Menara Amanahraya minggu lalu.




Oleh itu, kata bekas Setiausaha Agung UMNO itu lagi, jika tiada sebarang urusan lain, beliau biasanya sudah sampai ke pejabat sekitar jam 9 pagi setiap hari.

Selainnya, Sabbaruddin juga berazam untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat atau meniupkan nafas segar kepada warga kerja Amanahraya dan masyarakat keseluruhannya berkaitan tugas barunya sekarang.

Kata beliau, rekodnya sebelum ini sama ada sebagai menteri mahupun Pengerusi Bank Rakyat menunjukkan beliau sentiasa cuba melaksanakan idea-idea baru yang bermanfaat kepada orangramai.

"Orang selalu ingat Amanahraya ini hanya berkaitan wasiat dan pusaka saja, tetapi sebenarnya ia juga terlibat dalam pengurusan unit amanah, hartanah, pelaburan serta perbankan," tambahnya lagi.

Sehubungan itu, jelas Sabbaruddin, selain mengekalkan aktiviti sedia ada, beliau mahu menjadikan Amanahraya lebih dikenali dengan peranannya yang pelbagai serta kehadirannnya di tengah-tengah masyarakat turut dirasai oleh semua.




Tiada ulasan: