Ahad, 21 Februari 2016

Rumah Ngaji: Aplikasi pemikiran Tok Guru

Rumah Ngaji: Aplikasi pemikiran Tok Guru
Marhaini (kiri) bersama Ismail dan Nik Omar (kanan) melancarkan Rumah Ngaji Maahad Darul Anuar di Pulau Melaka, semalam.


KOTA BHARU - Satu kertas kerja yang berkait rapat dengan falsafah dan pemikiran bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai dunia pendidikan akan dibentangkan.

Pengerusi Maahad Darul Anuar, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, pembentangan itu dibuat melalui siri kolokium yang akan mengumpulkan profesional pendidikan seluruh negara.

Menurutnya, program bersiri itu amat penting kerana bukan sahaja mengumpulkan ahli akademik, malah mereka akan membincangkan bagaimana Tok Guru mengaplikasikan pendidikan dalam kehidupan sehariannya.

“Melalui kolokium seterusnya tahun hadapan, kita akan bentang kertas kerja yang berkait rapat dengan pendidikan dan pemikiran pendidikan Tok Guru serta macam mana kita nak aplikasikan pendidikan pemikiran tersebut dalam bentuk kurikulum.

“Jadi melalui kertas kerja tersebut kita boleh mantapkan lagi kokurikulum di Darul Anuar dan juga mungkin sekolah lain yang berminat, terutamanya sekolah tahfiz persendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama program Wacana: Dunia Pendidikan Tok Guru di Dewan Utama Maahad Darul Anuar, semalam.

Turut hadir, Rektor Universiti Fatoni, Dr Ismail Lutfi; Adun Melor, Dr Yusnan Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Umah Ikhlas (WUI), Marhaini Yusoff.

Pada masa sama, majlis pelancaran Rumah Ngaji di maahad tersebut turut disempurnakan.

Nik Omar yang juga anak kedua Allahyarham Nik Abdul Aziz berkata, sebelum ini, program dan pencerahan mengenai Allahyarham Tok Guru banyak terarah kepada tokoh politik dan pentadbir negeri.

“Program ini hanya memfokuskan kepada pendidikan kerana sebelum ini Tok Guru sudah dikenali sebagai tokoh politik dan pentadbir negeri, maka satu kelainan dibawa untuk menterjemahkan elemen pendidikan tersebut yang wujud dalam sifat-sifat mulia Tok Guru," katanya.

Terdahulu, Nik Omar berkata, program berkala kolokium itu dijangka dilaksanakan penghujung Mei ini untuk sesi kedua dan sesi ketiga pada awal Februari tahun depan.

“Kita fikir program ini merupakan program yang baik khususnya tentang pendidikan dan kebetulan bagi arwah Tok Guru sendiri pun, memang pendidikan yang menjadikan dia insan hebat sehingga layak dipanggil Alim Rabbani,” katanya.

Pada masa sama, katanya, sebuah buku bertajuk Dunia Pendidikan Tok Guru hasil tulisannya juga akan dilancarkan pada Mei ini sempena siri kedua wacana yang dijangka berlangsung di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam.

Sementara itu, mengulas perkembangan perasmian Rumah Ngaji di maahad tersebut, Marhaini berkata, besar harapan WUI untuk melihat lebih ramai pelajar menjadikan al-Quran sebagai bahan bacaan wajib.

“Saya jumpa banyak kes sebelum ini melibatkan mereka (pelajar) yang kurang ilmu agama sehinggakan baca Al-Fatihah pun tidak boleh. Maka kami berharap dengan adanya inisiatif Rumah Ngaji ini, kita akan bantu golongan tersebut untuk kembali kepada al-Quran.

“Marilah kita sama-sama meriahkan bacaan dan fahaman kita pada al-Quran. Ini adalah asas utama yang penting dalam kehidupan seharian kita,” katanya.

Yusnan yang membaca teks ucapan Datuk Ahmad Yakob pula berkata, wacana tersebut sangat bermakna kepada rakyat negeri ini khasnya ia menyentuh keperibadian murabbi ummah yang sangat disayangi masyarakat.

“Sejak diamanahkan sebagai Menteri Besar Kelantan, arwah menjalankan tanggungjawab mentadbir kerajaan negeri mengikut perintah agama, dan tindakan tersebut adalah semata-mata untuk menjamin kesejahteraan rakyat Kelantan. Inilah mesej yang dibawa Tok Guru sepanjang pentadbirannya.

“Beliau juga berjaya membuka minda dan mata rakyat serta meyakinkan banyak pihak bahawa hanya Islam boleh diterima pakai. Jika kita merujuk kepada dasar membangun bersama Islam, ia juga telah diasaskan oleh arwah Tok Guru. Malah sejarah telah membuktikan kegigihan beliau mengharungi pelbagai halangan berjaya meletakkan asas kukuh dan destinasi yang jelas untuk membawa rakyat membangun dengan Islam,” katanya.

Beliau juga berkata, kejayaan Allahyarham tidak dinilai di mata manusia, malah asas unggul peninggalan beliau itulah yang menjadi rujukan kita semua selaku generasi penyambung untuk membawa negeri warisan ini melangkah lebih maju ke hadapan berteraskan tonggak keberkatan kebajikan dan kemakmuran.

Tokoh Islam unggul

Sementara itu, Ismail dalam ucaptama wacana tersebut memberitahu, Tok Guru adalah salah seorang tokoh Islam yang unggul di sudut kealiman dengan ilmu-ilmu wahyu dan kejayaannya dalam pelaksanaan ilmu, sama ada pada peribadinya, keluarga, masyarakat dan kerajaannya.

“Pernah saya menziarahi Tok Guru di Masjid Pulau Melaka tahun lalu dan beliau menceritakan bahawa beliau pernah menjemput beberapa ketua agama Buddha untuk makan bersama pada hari raya. Katanya tetamu yang hadir itu lebih ramai daripada yang dijemput, dan beliau menceritakan perkara tersebut dengan cukup bangga. Ini kerana Islam itu adalah agama rahmat kepada sekian alam.

“Arwah juga berhak diberi gelaran ‘Alim Rabbani’ kerana sahsiah dan sifat yang dimiliki beliau dan melihat kepada perjuangan beliau sebagai pejuang Islam. Bukan sekadar fanatik kepartian atau kumpulan,” katanya.


Tiada ulasan: