Ahad, 21 Februari 2016

PRN Sarawak: Pakatan Harapan bertanding di semua kerusi dengan kerjasama PAS, kata Azmin

 Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak bakal menyaksikan blok pembangkang yang dibarisi PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) akan bekerjasama dengan PAS bagi memastikan semua 82 kerusi DUN Sarawak ditandingi.
 
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata penglibatan PAS adalah untuk memastikan tiada perebutan kerusi sesama pembangkang tetapi hanya dengan Barisan Nasional (BN).
 
"Kita akan bertanding di semua kerusi atas nama Pakatan Harapan dan juga kerjasama PAS. Yang penting kita tidak benarkan Barisan Nasional (BN) menang mudah di semua 82 kerusi di negeri Sarawak," katanya kepada Antarapos selepas menghadiri Majlis RUmah Terbuka Tahun Baru Cina Kerajaan Negeri Selangor malam tadi.
 
Menurut Azmin, pendekatan itu diambil gabungan pembangkang bagi memastikan BN tidak mendapat laluan mudah dalam PRN Sarawak kali ini.
 
Namun perbincangan mengenai pembahagian kerusi masih dijalankan PKR bersama DAP dan PAN, dan juga PAS.
 
"Calon-calon yang diletakkan samada mewakili Pakatan Harapan atau dengan PAS di beberapa kawasan yang sedang kita bincangkan kerana kita tidak mahu BN diberikan laluan mudah dalam PRN Sarawak. 
 
Sementara itu dalam majlis yang sama, Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, niat parti itu untuk bertanding di PRN Sarawak tidak harus dipersoalkan oleh PH kerana PAS bertanding hanya 11 kerusi berbanding 71 kerusi yang akan ditandingi pakatan itu.
 
"Kita ada 11 kerusi dan PAS bukan nak bertanding di semua kerusi jadi sepatutnya (PH) boleh beri kerjasama kalau mereka mahu, bukannya PAS nak 50 atau 80 kerusi, hanya 11 kerusi sahaja," katanya yang hadir sama dalam majlis tersebut.
 
Untuk rekod, PAS gagal meraih sebarang kerusi di PRN Sarawak pada 2011 apabila diperuntukkan lima kerusi berkenaan ketika menjadi gabungan pembangkang dalam Pakatan Rakyat (PR).
 
Mengulas lanjut, PAS katanya akan turut menerima konsep satu lawan satu di Selangor pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.
 
"Kalau di Selangor kita setuju kalau satu lawan satu dengan syarat tidak parti yang masuk dalam kerusi kita," katanya.
 
 

Tiada ulasan: