Khamis, 4 Februari 2016

Politikus ‘kotorkan’ Malaysia, Raja-Raja yang ‘bersihkan’

 
Nilai integriti ahli politik tanah air yang semakin merosot mengukuhkan kedudukan Raja-Raja selaku sumber kekuasaan, keadilan dan payung negara.
 
 
 
majlis-raja-raja

Krisis Menteri Besar Kedah sejak seminggu lalu sekali lagi menyaksikan kebijaksanaan Raja-Raja dalam memainkan peranan menyelesaikan kemelut politik yang melanda.

Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dianggotai Tan Sri Tunku Sallehuddin, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz benar-benar ibarat ‘menarik rambut dalam tepung’ bagi memastikan krisis itu diselesaikan dengan baik.

Jemaah Pemangku Sultan Kedah menggunakan konsep semak dan imbang dan sememangnya berlaku adil apabila memanggil semua Ali Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah, tidak kira seseorang ADUN itu daripada parti mana.

Soalan daripada ketiga-tiga anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah sama sahaja, iaitu adakah mereka masih menyokong Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku ketua kerajaan Negeri Jelapang Padi?

Jawapan bagi setiap ADUN itu dinilai dan dibincangkan dalam jemaah diraja negeri berkenaan supaya keputusan konsensus terbaik dapat dibuat demi rakyat Kedah.

Krisis Menteri Besar Kedah yang berlaku adalah contoh terbaik bagaimana Raja-Raja Melayu memperkasakan peranan mereka sebagai kuasa dan sumber keadilan tertinggi negara yang memayungi seluruh rakyat.

Tahun-tahun sebelum ini, kita pernah menyaksikan perkara serupa membabitkan Raja-Raja Melayu iaitu campur tangan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah dalam krisis Menteri Besar negeri itu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pernah memainkan peranan mereka sebagai ketua negeri untuk menyelesaikan kemelut akibat permainan politikus yang dirasakan kotor dan tidak bermoral.

Malah, dalam tahun 1970-an juga, negara menyaksikan Sultan Perak ketika itu, Sultan Idris Iskandar Shah berkrisis dengan dua Menteri Besar Perak, Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi dan Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh atas dakwaan rasuah, dakwaan pengagihan konsesi balak tidak adil dan mempersoalkan tindakan Sultan melantik seorang ulama sebagai penasihat agama dan adat Melayu Perak, hanya kerana ulama itu ahli PAS.

Sultan Idris bertindak ‘menyingkirkan’ dua Menteri Besar berkenaan dan Presiden UMNO waktu itu hanya mampu melihat sahaja tanpa boleh berbuat apa-apa.

Di sinilah rakyat perlu sedar, betapa pentingnya kuasa Raja-Raja dalam menegur dan campur tangan yang perlu mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri untuk mengawal tindakan politik oleh politikus tidak berintegriti ini. Ini penting supaya pentadbiran negeri lancar dan pembangunan demi kesejahteraan rakyat tidak tergugat.

Raja-Raja juga berhak menegur ketua kerajaan, sama ada Persekutuan atau negeri berhubung isu semasa yang melanda negara, termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang pernah disuarakan baru-baru ini.

Kita juga menyedari bahawa mutakhir ini, institusi Raja-Raja kembali menjadi tumpuan terutama orang Melayu yang sudah semakin muak dengan permainan politik oleh politikus tidak berintegriti.

Teringat kita akan kata-kata seorang pembesar Melayu di salah satu Balai Undang di Negeri Sembilan.

Katanya, institusi politik boleh runtuh bila-bila masa, namun kedudukan Raja-Raja adalah kekal kerana ia termaktub dalam Perlembagaan dan mempunyai kuasa tersendiri untuk menjaga negara ini.

Yang pasti, situasi politik semasa sejak Pilihan Raya Umum (PRU-12) pada tahun 2008 menyaksikan Raja-Raja semakin perkasa kedudukannya.

Ingatan kepada ahli politik tidak berintegriti, tidak kira daripada mana-mana parti politik sekali pun, mereka tidak boleh berlebih-lebih dalam berpolitik kerana Raja-Raja sentiasa memerhati, menegur dan boleh sahaja ‘membuang’ ahli politik jenis ini daripada pentadbiran negeri.

Tiada ulasan: