Rabu, 24 Februari 2016

Perlu lepaskan jawatan kerana tidak sokong Najib

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin. - Foto Sinar Harian


PUTRAJAYA - “Jika tidak mahu sokong Presiden (Umno), maka berhentilah jadi Timbalan Presiden.’
Itu kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz apabila bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berterusan mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka.

Menurut Mohamed Nazri, sebagai Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin  sepatutnya membantu tugas-tugas presiden.

“Kami sokong dan pilih Muhyiddin (dahulu), bukan suruh dia lawan presiden, tetapi beliau dipilih kerana kita lihat beliau boleh bantu presiden.

“Tetapi jika hari ini, beliau tidak mahu menyokong presiden, jalan terbaik adalah berhenti sahajalah,” katanya pada sidang media persidangan meja Bulat Imam Kebangsaan 2016 - Edisi pelancongan Masjid, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Nazri minta Muhyiddin letak jawatan timbalan presiden]

Mohamed Nazri turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang berterusan menghentam Najib terutama berkaitan isu dana RM2.6 bilion dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara terbuka.

“Kes ini sudah selesai seperti mana diumumkan Peguam Negara. Jadi kalau sudah selesai apa lagi yang dimahukan.  Sekarang ini adalah masa untuk buat kerja. Sebagai satu pasukan, kita harus bantu presiden untuk bantu rakyat.

“Jika tidak boleh bantu presiden, saya cadangkan agar jawatannya digantung (bukan keahlian). Sebagai ahli kalau hendak hentam, itu terpulang. Umno mengamalkan kebebasan bersuara. Yang tidak boleh sekarang adalah kerana Muhyiddin masih timbalan presiden,” katanya.

Mengulas mengenai bukti yang dimaksudkan Muhyiddin, Mohamed Nazri berkata, bukti sudah jelas apabila Ahli Parlimen Pagoh itu berterusan mengkritik kepimpinan Najib secara terbuka selain didakwa bersekongkol dengan ketua cawangan Umno untuk menjatuhkan perdana menteri.

Katanya, jika sikap Muhyiddin berterusan mengkritik secara terbuka, adalah wajar perkara itu di bawa ke Lembaga Disiplin Umno.

“Jika tindakan itu dilakukan kerana kepentingan rakyat dan kerana mewakili rakyat, saya juga wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat,” katanya.

Mengenai kenyataan bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz terhadap keputusan flip-flop kerajaan berhubung isu kemasukan 1.5 juta pekerja asing, Mohamed Nazri berkata, Rafidah hanyalah ahli biasa.

“Dia bukan orang penting (dalam Umno). Tetapi Umno mengamalkan demokrasi dan kebebasan bersuara, jadi saya tidak kisah jika dia hendak bersuara sekali pun,” katanya.


Tiada ulasan: