Sabtu, 13 Februari 2016

PERGHHH...BILION-BILION JUGAK!!

 shahbudindotcom

 

 
 
 
Hampir tidak ada yang setuju dan gembira dengan keputusan kerajaan membenarkan kemasukan 1.5 juta pekerja asing daripada Bangladesh bekerja di negara ini untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Selain ramai yang menyifatkan keputusan itu seolah-olah menjadikan negara ini "lambakan hamba abdi", yang lebih dirisaukan ialah kesan sosial daripadanya yang mungkin jauh lebih buruk dan menggerunkan.

Ini berikutan sekarang ini pun dikatakan terdapat lebih 5 juta pekerja asing di negara ini di mana 2.2 juta daripadanya berdaftar secara sah, manakala selebihnya adalah tanpa izin.

Membenarkan kemasukan 1.5 juta lagi, bermakna dalam tempoh tiga tahun akan datang, jumlah pekerja asing di negara ini akan meningkat kepada kira-kira 7 juta orang.

Maka, apa rasionalnya lagi menambah masalah sedia ada?

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi dalam mempertahankan kemasukan itu berkata, ia bukanlah kehendak kerajaan, tetapi untuk memenuhi permintaan pasaran dalam sektor perkilangan, perladangan, pembinaan dan sebagainya.

Hari ini pula, beliau sekali lagi mempertahankan keputusan itu dengan menegaskan, ahli FMM atau Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia sendiri yang meminta kemasukan pekerja asing tersebut kerana menghadapi masalah kekurangan pekerja.

Ehhh...ehh...ehh, sejak bila kerajaan mempunyai sikap tunduk seratus-peratus kepada kehendak pasaran semata-mata dalam membuat keputusannya?
 
 
 
 
 
Apa gunanya sebuah kerajaan yang mengaku bertunjangkan rakyat jika akhirnya kepentingan kapitalis saja yang ingin dipenuhi?

Apakah kerajaan tiada dasar langsung dalam penetapan kadar pekerja asing yang boleh bekerja dalam mana-mana kilang, ladang atau industri?

Apakah mahu dibenarkan sesebuah industri itu mengambil sepenuhnya pekerja Bangladesh sahaja dan mengabaikan sama sekali pekerja tempatan?

Tidakkah dengan membuat ketetapan 1.5 juta pekerja Bangladesh akan dibawa masuk akan menyebabkan pekerja asing lebih diketepikan?

Yang menjadi perbualan di mana-mana juga ialah kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ini merupakan jumlah paling ramai yang pernah diputuskan oleh mana-mana era menteri yang mengetuai Kementerian Dalam Negeri.

Lantaran itu, dalam tempoh tiga tahun kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh tersebut, siapakah yang lebih untung daripadanya?

Jika dibuat andaian bodoh sekalipun di mana katalah mana-mana syarikat yang menguruskan kemasukan pekerja Bangladesh itu mengaut keuntungan RM1,000.00 bagi setiap kepala,  bermakna laba " jual orang" saja sudah mencecah RM1.5 bilion atau RM1,500 juta.

Perghhh...bilion-bilion jugak!! 


Tiada ulasan: