Isnin, 8 Februari 2016

Penukaran Menteri Besar Kedah sebabkan KFA hilang tajaan?

 
KFA sedih apabila dimaklumkan tentang perkara tersebut ketika KFA memerlukan banyak tajaan bagi mengharungi Liga Malaysia musim ini yang akan bermula empat hari lagi.


kedah-kfa


PETALING JAYA: Penukaran Menteri Besar di Kedah dikaitkan dengan keputusan syarikat produk kesihatan dan kecantikan D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd menarik diri daripada menaja Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Walaupun kedua-dua pihak enggan mengulas lanjut berkenaan alasan tersebut, namun penarikan itu dimaklumkan oleh KFA.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, beliau merasa sedih apabila dimaklumkan tentang perkara tersebut ketika KFA memerlukan banyak tajaan bagi mengharungi Liga Malaysia musim ini yang akan bermula empat hari lagi.

“Saya telah dimaklumkan tentang pembatalan tajaan daripada D’Herbs dan sehingga kini tiada kata putus berhubung penajaan ini. Sekiranya tajaan ditarik semula, saya merasa susah hati dengan kedudukan kewangan KFA.

“Kita masih memerlukan penajaan yang banyak, jadi saya masih mengharap tajaan akan diberikan kepada KFA bagi membolehkan pasukan Kedah menghadapi musim ini dengan baik,” katanya, lapor Bernama.

Dalam satu lagi laporan berita berbeza, pemilik D’herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman terus terang menyatakan pihaknya sudah tidak lagi berminat untuk menaja Kedah.

“Sudah, saya tidak berminat,” katanya ringkas dalam laporan di Sinar Harian.

Januari lalu, Aliff Syukri mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir bagi membincangkan mengenai penajaan skuad Helang Merah.

Tiada ulasan: