Khamis, 18 Februari 2016

Pengundi Sarawak lebih pilih parti daripada calon

undi
Gambar hiasan



SHAH ALAM – Penganalisis politik melihat rakyat Sarawak cenderung memilih parti yang sedia kuat di sana iaitu BN berbanding calon yang akan bertanding dalam pilihan raya di negeri itu.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, meskipun tidak dapat dinafikan ada lagi janji PRU13 yang masih belum ditunaikan sehingga hari ini, namun, rakyat Sarawak masih ‘memandang’ BN.‎

“Berdasarkan kajian 60 peratus daripada pengundi itu melihat lebih kepada parti walaupun hakikatnya calon juga penting. Setelah sekian lama kita bercakap tentang betapa mereka (BN) nak selesaikan masalah asas seperti jalan raya berturap, bekalan elektrik dan air bersih.

“Tetapi (masalah) itu masih membelenggu rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak. Jadi, janji ini akan menghantui mereka dalam pilihan raya akan datang.

“Bagi pengundi luar bandar ini, hanya BN yang dapat membela nasib dan masa depan mereka walaupun BN tidak mengotakan janji, pengundi masih berdiri teguh di belakang mereka,” katanya kepada Sinar Online.

Turut senada dengannya, Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Namun katanya, kemungkinan untuk calon dipilih berbanding parti itu juga ada sekiranya calon itu disenangi dan dikenali dalam kalangan penduduk tempatan.

Azizuddin turut mengakui sukar untuk pembangkang melakukan angin perubahan di Bumi Kenyalang itu sekiranya rakyat Sarawak memilih parti yang sedia kuat.

“BN pun ada masalah juga sedikit tapi kalau ada berlaku sabotaj, masalah juga buat BN. Tapi memandangkan dalam keadaan sekarang pembangkang pun tidak kuat di Sarawak dan isu yang dimainkan pun lebih kepada isu tempatan berbanding isu nasional.

“Jadi, saya nampak kecenderungan untuk BN menang besar itu, ada,” katanya.


Tiada ulasan: