Khamis, 18 Februari 2016

Penggiat industri pelancongan perlu manfaat ketibaan pelancong tahun ini - TPM

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Penggiat industri pelancongan perlu memanfaatkan sepenuhnya gelombang ketibaan pelancong akan datang, yang diunjurkan berkembang sebanyak empat hingga lima peratus di Asia dan Pasifik tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
 
Beliau berkata, melalui penciptaan produk menarik dan bernilai tinggi, ditambah pula dengan perkhidmatan berkualiti, mereka akan dapat menarik lebih banyak pelancong antarabangsa ke negara ini.
 
"Tinjauan Pertubuhan Pelancongan Sedunia atau UNWTO bagi 2016 mengunjurkan ketibaan pelancong antarabangsa akan berkembang sebanyak empat peratus di seluruh dunia, manakala di peringkat serantau pula, pertumbuhannya dijangka mencatat jumlah lebih besar di Asia dan Pasifik iaitu antara campur empat peratus hingga campur lima peratus.
 
"Oleh itu, saya percaya, tiada masa yang lebih baik daripada sekarang bagi Malaysia untuk memanfaatkan sepenuhnya gelombang pertumbuhan akan datang ini," katanya ketika merasmikan majlis Anugerah Pelancongan Malaysia 2014/2015 di sini malam tadi.
 
Beliau berkata kerajaan akan memainkan peranannya untuk menggubal dasar yang boleh menjadikan Malaysia sebuah destinasi lebih mesra pelancong, dengan memberi keutamaan terhadap keselamatan negara dan kemudahan perjalanan.
 
Ahmad Zahid berkata pelaksanaan pengecualian visa dan sistem e-visa bagi memudahkan perjalanan lebih banyak pelancong China ke Malaysia adalah antara langkah yang menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menambah baik sektor pelancongan negara ini.
 
Berikutan sasaran untuk menarik lapan juta pelancong China dalam masa lima tahun akan datang, kata Ahmad Zahid, kerajaan memudahkan mereka untuk datang ke Malaysia, memandangkan persaingan untuk menarik mereka sangat sengit, lebih-lebih lagi apabila Thailand dan Indonesia juga berusaha untuk menarik pelancong dari negara itu.
 
"Masing-masing mempunyai daya tarikan, tetapi Malaysia, saya tahu, mempunyai kelebihan berbanding mereka kerana negara kita benar-benar bersifat pelbagai kaum, pelbagai budaya dan pelbagai agama.
 
"Ini suatu kelebihan, suatu keunikan yang hanya dimiliki Malaysia dan perlu kita manfaatkan untuk mempromosikan negara kita kepada pelancong China," katanya.
 
Dalam ucapan beliau juga, Ahmad Zahid mengumumkan artis dan penyanyi terkenal tanah air, Shila Amzah, yang popular di China, akan dilantik sebagai Duta Pelancongan Malaysia bagi menarik lebih banyak pelancong dari negara itu.
 
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata sejak beberapa tahun lepas, industri pelancongan Malaysia mencatat pertumbuhan ketara dari segi ketibaan pelancong dan sumbangan terhadap ekonomi.
 
Katanya daripada hanya 5.5 juta ketibaan pelancong pada 1998, yang menyumbang pendapatan berjumlah kira-kira RM8.5 bilion, Malaysia dijangka menarik 36 juta pada 2020 dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion.
 
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, timbalan beliau, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan beratus-ratus penggiat industri pelancongan.
 
Dianjurkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, sebanyak 65 anugerah disampaikan kepada penggiat industri yang memberi sumbangan cemerlang dan penting terhadap kejayaan industri pelancongan Malaysia.
 
Ia termasuk Anugerah Pengusaha Perjalanan Tempatan Terbaik, Pengusaha Perjalanan Asing Terbaik, Pakej Perjalanan Terbaik, Tarikan Pelancong Terbaik, Pemandu Pelancong Terbaik, Inap Desa Terbaik dan Perkhidmatan Hotel Terbaik.
 
 

Tiada ulasan: