Jumaat, 12 Februari 2016

Pengerusi baharu: Akar umbi UMNO terkilan

 
Pelantikan Ahmad Bashah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah baharu dianggap terburu-buru dan tidak tepat pada masanya


Ahmad-Bashah_kedah_umno_600


PETALING JAYA: Pelantikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah disifatkan tindakan yang terburu-buru.

Ketua UMNO Cawangan Bandar Laguna, Zahran Abdullah berkata akar umbi UMNO Kedah sememangnya terkilan dengan pelantikan tersebut.

Katanya, pelantikan itu tidak tepat masanya kerana UMNO sepatutnya menitikkan soal perpaduan dan mengembalikan keyakinan rakyat Kedah.

“Ia tak beretika (kerana) dengan jatuhkan (Datuk Seri) Mukhriz (Mahathir) sebagai Menteri Besar.
Sepatutnya mereka menitikkan soal rakyat, perpaduan dan bagaimana nak gerakkan UMNO dan Barisan Nasional di Kedah untuk kejayaan dalam PRU14, daripada fikir soal politik,” katanya ketika dihubungi FMT.

Hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menamakan Ahmad Bashah untuk jawatan tersebut selepas beliau baru sahaja menggantikan Mukhriz bagi kerusi Menteri Besar.

Tengku Adnan juga mengumumkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Mengulas lanjut, Zahran berpandangan pelantikan itu akan menambah imej buruk UMNO.

“Rakyat lihat satu benda menyedihkan kerana kita ada seorang pemimpin yang mempunyai rekod yang baik, cemerlang dan bersih. Dari segi penampilan, dia (Mukhriz Mahathir) yang menyenangkan.

“Akhirnya kita terpaksa menerima keputusan parti, walaupun kita tahu keputusan itu sebenarnya bukan tepat pada masanya,” katanya lagi.

Muhkriz pada 3 Feb lepas meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah tetapi menyerahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Tiada ulasan: