Jumaat, 12 Februari 2016

Pemain muda lebih nampak duit, bukan pertahan maruah negara


Pemain muda lebih nampak duit, bukan pertahan maruah negara
 

MAIN bola sepak kerana duit bukan demi mempertahankan maruah negara itulah perspektif lagenda bola sepak kebangsaan, Datuk Santokh Singh terhadap penampilan pemain hari ini.

Bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan era 80an itu berkata, beliau tidak percaya kepada pemain pelapis yang membarisi pasukan bola sepak sedia ada.

"Saya tidak pernah pergi ke stadium untuk tengok bola kerana saya tak percaya kepada pemain-pemain muda sekarang.

"Terus terang saya katakan mereka bukan main untuk maruah atau untuk negara tetapi mereka main semata-mata untuk duit. Oleh sebab itu, saya tidak berapa suka dengan situasi ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Bekas pemain Selangor ini turut menasihatkan pemain muda sekarang harus betulkan niat turun ke padang iaitu demi negeri atau negara dan membawa pulang kemenangan.

Bagaimanapun, Santokh tidak menafikan pemain pelapis kini mempunyai kualiti tetapi disiplin harus diperbaiki untuk mara dan mencipta nama di peringkat antarabangsa.

"Kualiti pemain memang ada tapi mereka tidak tahu menggunakan kualiti (mereka) itu saja.

"Sebenarnya mereka ada masa depan untuk ke peringkat antarabangsa namun disiplin mesti dibaiki jika ingin maju," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kuala Lumpur, Mohd Irwan Rizal mengulas berkenaan campur tangan politik dalam arena bola sepak negara yang dilihat menjadi punca kerencaman dalam sukan kegemaran rakyat Malaysia ini.

"Jangan main politik dalam bola sepak, tak salah orang politik sokong sukan ini tapi bukan orang politik jadi pengurus, tentukan kesebelasan utama itu yang jadi masalah.

"Sebaiknya pasukan bola sepak dikendalikan pakar dalam bidang ini serta mempunyai minat terhadap bola sepak untuk menjadi peneraju," katanya.

Reaksi senada turut dizahirkan lagenda bola sepak negara, Khalid Ali yang mahu pasukan kebangsaan segera menurunkan ranking negara ke tahap selesa.

"Banyakkan program pemantapan pemain harap ranking Malaysia turun  dalam tempoh tiga, empat tahun ini," katanya

Tiada ulasan: