Khamis, 18 Februari 2016

Pekerja Asing: ‘Durian runtuh' untuk siapa?



Oleh DR DZULKEFLY AHMAD 


Seolah-olah kenaikan levi atau caj ke atas pekerja asing baru-baru ini tidak cukup menggemparkan pelbagai pihak, kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd  Najib Razak terus mencabar kesabaran rakyat dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri  Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang rancangan membawa masuk 1.5 juta warga Bangladesh. 

Untuk pengetahuan umum, ini akan melonjakkan jumlah pekerja asing kepada 7.5 juta berbanding 6.5 juta warga kerja tempatan yang berada dalam sektor awam mahupun swasta. Jumlah 6 juta pekerja asing kini adalah terdiri daripada 2.14 juta secara sah dan selebihnya tanpa izin atau tidak berdokumen.

Polemik pekerja asing berlarutan sekian lama. Sementara sememangnya mereka diperlukan dalam jenis kerja yang disebut dengan 3D (Dirty, Difficult, Dangerous) itu, kerap dinyatakan bahawa keberadaan mereka adalah sementara. Pun begitu, apa-apa hak mereka mesti dipenuhi oleh majikan serta dikuatkuasakan kawalan undang-undang seperti Akta Kerja 1955, Akta Pampasan Pekerja 1952 dan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Permohonan mutakhir ini yang didakwa diminta oleh pihak industri amat dipertikikan pihak Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM). Maka wajar kerajaan menyenaraikan syarikat dan industri yang mengemukakan permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri secara telus. Perkara ini menjadi lebih menekan lagi dalam suasana ekonomi yang melembap termasuk di peringkat serantau dan global.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga mempertikaikan langkah kemasukan pekerja asing ini kerana lebih berkehendakkan kerajaan membekalkan latihan secukupnya dan gaji setimpal kepada pekerja separa mahir tempatan untuk diserapkan ke dalam sektor yang ketika ini kurang diminati warga Malaysia.

Perjanjian Persefahaman (MOU) di antara kerajaan Malaysia-Bangladesh untuk membawa masuk pekerja asing ini ditanggapi banyak pihak sebagai bertentangan dengan pelbagai dasar pembangunan kerajaan yang mahu menghadkan hanya 15% pekerja asing menjelang 2020. Mampukah ini dicapai kalau terus-terusan sikap kerajaan adalah sangat culas dan tidak bertanggungjawab.

Pertikaikan tentang pekerja asing ini telah menjadi polemik yang tidak berkesudahan sejak berdekad lamanya. Kehadiran bahkan lambakan pekerja asing yang berketrampilan rendah serta buruh tempatan yang tidak terlatih (70% dikatakan hanya punya kelulusan SPM), antara lain menjadi punca negara terus berada dalam ‘Perangkap Pendapatan Sederhana’ (Middle-Income Trap) tidak akan dapat di atasi dengan hakikat ini. Setiap tahun negara mengalami aliran keluar tunai sebanyak RM32 bilion dari segi hantaran pulang pendapatan pekerja asing (remittance economy).

Industri menjadi selesa atau tidak dapat melonjak ke tahap menghasilkan produk yang bernilai tambah tinggi kerana dikekang oleh warga kerja yang tidak berketrampilan dan produktiviti yang rendah.

Cakap-cakap tentang menjadi sebuah ekonomi yang berprestasi dan berpendapatan tinggi adalah angan-angan serta ilusi pemimpin di Putrajaya yang pastinya akan gagal. Wujud satu jurang atau ‘disconnect’ antara cita-cita atau visi dan keupayaan atau ‘capacity’ serta pacuan model pembangunan Putrajaya. Tidak mustahil Malaysia akan kekal begini bukan sahaja melepasi 2020 bahkan 2050!

Persoalan pentingnya yang semua rakyat ingin tahu ialah mengapa kekalkan amalan ini? Mengapa perlu mewujudkan sistem AP yang diberikan kepada syarikat atau agen-agen tertentu untuk mengendalikan pengambilan atau ‘rekruitment’ pekerja asing ini? Siapa yang sebenarnya yang mendapat durian runtuh dari seluruh rantaian bekalan pekerja asing ini? Ambil mudah begini..satu senario..

Untuk mendapat seorang pembantu rumah Indonesia akan menelan kos antara RM8000 hingga RM10000.

Kalau bayaran caj atau levi yang dibayar kepada kerajaan adalah RM500 dan kos untuk mendapat pekerja ini adalah RM3000 di segi bayaran kepada agen dari negara asal, maka kepada siapakah bayaran baki sebanyak RM6,500 lagi?

Jawabnya ialah agensi tempatan atau pemegang AP (Approved Permit) atau ‘kroni’ yang mengendalikan pekerja asing ini. Merekalah yang mendapat habuan paling besar dalam urusniaga ini!

Persoalan susulan yang saya ingin bangkitkan ialah mengapakah diteruskan pemberian AP ini? Dari sedikit pendedahan tentang carian seorang pembantu rumah di atas menunjukkan bahawa sangat lumayan habuan pekerjaan AP pekerja asing ini!

Bolehkah Menteri senaraikan berapa syarikat yang diberikan AP untuk mengendalikan membawa masuk pekerja asing ini? Apakah nilai-tambah mereka dalam rantaian bekalan ini?

Benarkah kerajaan Malaysia bercadang melaksanakan pengambilan pekerja asing secara atas talian bagi mengurangkan kos merekrut seperti disebut oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot ucapan perasmian Forum mengenai Buruh Migran Asean ke-8 Oktober lalu? Jangan cakap-cakap kosong sahaja ya.

Masa untuk menghapuskan segala sistem yang tidak efisien dan sarat dengan kronisme telah tiba!

* Penulis Dr Zullkefly  adalah Pengarah Strategi Parti Amanah Negara

Tiada ulasan: