Rabu, 24 Februari 2016

PAS mahu kes 1MDB selesai sebelum Zeti tamatkan tugas

 Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS menyarankan Putrajaya perlu mengambil serius berhubung permintaan Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang mahu siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan sebelum April ini.
 
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berpendapat isu berhubung badan pelaburan strategik negara perlu diselesaikan segera sebelum kerajaan melantik Gabenor BNM yang baru menjelang April ini.
 
Ini kerana Zeti akan menamatkan khidmatnya hujung April depan setelah memegang jawatan itu sejak 2000.
 
"Apa yang beliau minta siasatan terhadap 1MDB dapat dilengkapkan, supaya pengganti beliau tidak susah. Ini harapan daripada seorang yang patriotik untuk menyelamatkan negara yang terpalit dengan isu IMDB. 
 
"Pandangan yang ikhlas, kerana beliau bukan saingan politik mana-mana pihak, oleh itu Datuk Seri Najib tunaikanlah hasrat Tan Sri Zeti sebelum beliau bersara. Inilah hasrat yang sama daripada majoriti rakyat Malaysia, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Zeti semalam berkata beliau berharap siasatan ke atas 1MDB dapat dimuktamadkan sebelum tempoh perkhidmatannya tamat.
 
Langkah ini supaya gabenor selepas ini boleh memulakan tugasnya dengan rekod yang bersih. 
 
Sebelum ini pembangkang menyokong tempoh perkhidmatan Zeti dilanjutkan sekurang-kurangnya dua tahun lagi kerana menyifatkan beliau menjalankan tugas dengan baik dalam menguruskan institusi perbankan negara itu.
 
Mengulas lanjut, Idris berkata BNM perlu ditadbir oleh orang yang tiada kaitan dengan politik bagi menjamin tahap profesionalisme institusi berkenaan.
 
"Kita (PAS) mengharapkan bakal pengganti beliau nanti setara atau lebih baik. Kerana beliau telah meletak piawai yang tinggi sehingga BNM masih diyakini walau pun negara mengalami kemelut kewangan angkara 1MDB dan RM2.6 bilion. 
 
"Bakal Gabenor BNM nanti biarlah bukan orang politik atau orang yang membawa agenda politik," jelas Idris lagi.
 
 

Tiada ulasan: