Selasa, 9 Februari 2016

PAS alu-alukan AMANAH bertanding – Takiyuddin

FREE MALAYSIA TODAY


Tindakan AMANAH letak calon diyakini tidak akan menjejaskan undi yang diterima PAS sebelum ini.


Takiyuddin-Hassan_amanah_pas_600


KOTA BHARU: PAS hari ini mengalu-alukan Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk bertanding bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili PAS, pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata PAS tidak mempunyai kaitan langsung dengan parti itu walaupun ramai pemimpin dan anggota AMANAH terdiri daripada kalangan bekas anggota PAS.

“(AMANAH) tak ada kena mengena dengan kita dan dia tak perlu nak ‘consult’ dengan kita pun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Presiden Kehormat Gabungan Pertubuhan Tionghua Kelantan, Datuk Chan Chia Ling yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, di sini, hari ini.

Pengerusi AMANAH Selangor, Ir Izham Hashim sebelum ini dilaporkan berkata, parti itu akan meletakkan calon di semua kerusi Parlimen dan DUN yang diwakili PAS.

Takiyuddin yang juga anggota Parlimen Kota Bharu berkata, tindakan AMANAH untuk meletakkan calon mereka diyakini tidak akan menjejaskan undi yang diterima PAS sebelum ini.

Mengulas mengenai tindakan ADUN Salor, Datuk Husam Musa yang kebelakangan ini dilihat banyak menghentam parti sendiri, Takiyuddin berkata, perkara itu kini dalam perhatian pihaknya.

“Husam boleh dikenakan hukuman tata tertib sama ada dilucutkan jawatan dalam parti, digantung keanggotaan mahupun dipecat daripada parti,” katanya.-BERNAMA

Tiada ulasan: