Selasa, 9 Februari 2016

PAC cukup maklumat rumuskan siasatan 1MDB, kata Hasan

THE MALAYSIAN INSIDER

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata, jawatankuasa itu tidak perlu memanggil mana-mana saksi lagi bagi membantu siasatan terhadap 1MDB sudah mempunyai semua maklumat dan jawapan untuknya membuat rumusan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Februari, 2016.Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata, jawatankuasa itu tidak perlu memanggil mana-mana saksi lagi bagi membantu siasatan terhadap 1MDB sudah mempunyai semua maklumat dan jawapan untuknya membuat rumusan. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mempunyai maklumat mencukupi untuk membuat "rumusan yang objektif, telus dan adil" berhubung siasatannya terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata pengerusinya Datuk Hasan Arifin.

Beliau berkata, jawatankuasa itu tidak perlu memanggil mana-mana saksi lagi bagi membantu siasatannya seperti dicadangkan seorang lagi anggota PAC, Tony Pua, wakil rakyat Petaling Jaya Utara daripada DAP.

"Berhubung kenyataan Pua mengenai keperluan memanggil bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bagi memberi keterangan kepada PAC dalam prosiding 1MDB, ia sebenarnya tidak berapa sangat diperlukan.

"Ia disebabkan segala isu ketika Hazem menjadi CEO 1MDB sudah dijawab Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin ketika prosiding pada 19 dan 20 Januari lalu. "Saya berpandangan sebagai pengerusi 1MDB, beliau bertanggungjawab mengetahui secara mendalam operasi syarikat.

"Sehubungan itu, semua maklumat dan jawapan yang diberikan pengerusi 1MDB sudah mencukupi untuk PAC membuat rumusan berhubung dengan urus tadbir 1MDB," kata Hasan dalam satu kenyataan hari ini.

Hasan pada Ahad dilaporkan berkata, 2 individu terakhir akan tampil memberi keterangan berhubung isu itu minggu hadapan, iaitu bekas presiden dan CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Selepas itu, katanya Ketua Audit Negara akan membentangkan laporan mengenai krisis 1MDB itu kepada PAC pada 24 dan 25 Februari serta jawatankuasa akan membuat rumusan daripada laporan audit untuk dibentangkan kepada Parlimen.

Pua semalam berkata, beliau terkejut dengan perkara itu kerana tidak pernah diputuskan tidak akan ada lagi saksi dipanggil selepas Shahrol dan Bakke.

Katanya, selain Zeti dan Hazem yang perlu didengar keterangan mereka, PAC sebelum ini di bawah Datuk Nur Jazlan Mohamed pernah meminta Kementerian Kewangan memastikan kehadiran ahli perniagaan Low Taek Jho dan Datuk Seri Najib Razak.

Hasan dalam kenyataannya berkata, memandangkan kes berkaitan 1MDB sudah berlarutan sejak Mei tahun lalu, membabitkan sembilan prosiding, "mengikut kefahaman serta perkiraan saya, maklumat yang diterima sebelum ini mencukupi untuk PAC membuat rumusan yang objektif, telus dan adil."

Tambahan pula katanya, PAC pasti memerlukan masa meneliti dan menilai laporan akhir ketua audit yang akan dibentangkan pada 24 dan 25 Februari.

"Laporan ketua audit ini sangat penting kerana ia merupakan sumber utama sebagai rujukan kepada PAC dalam membuat rumusan sebelum dibentangkan ke Parlimen nanti," katanya.

Mengenai isu 1MDB di bawah Bank Negara pula, Hasan berkata, ia sudah dijelaskan 1MDB secara terbuka menerusi media dan mendapat ulasan daripada peguam negara, yang turut dilaporkan media secara meluas.

Kata ahli Parlimen Rompin itu, PAC bercadang membentangkan laporan berhubung 1MDB ke Parlimen dalam sesi Dewan Rakyat yang akan bermula Mac ini.

Wakil rakyat DAP itu katanya, boleh membangkitkan perkara itu dalam prosiding PAC akan datang.

"Jika ahli-ahli PAC bersetuju memanggil lebih ramai lagi saksi, ia terpulang kepada jawatankuasa ini.

"Tetapi yang pasti, ia boleh melambatkan proses rumusan, sekali gus menyebabkan hasrat saya dan PAC membentangkan laporan PAC berhubung pengurusan kawalan urus tadbir 1MDB dalam sesi Parlimen akan datang tidak akan tercapai," kata Hasan


Tiada ulasan: