Rabu, 24 Februari 2016

Lebih 'derma' biayai kempen BN pada PRU13, dakwa Rafizi

Alyaa Alhadjri

 


Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli hari ini mendakwa BN mendapat manfaat daripada RM2 juta wang pembayar cukai untuk membiayai kempen pilihan raya umum ke-13.

Bercakap pada sidang media di ibu pejabat PKR, Rafizi mendakwa bahawa Kementerian Kewangan pada 2013 meluluskan jumlah itu sebagai "geran derma" kepada sebuah persatuan kaum India yang mesra-BN.

"Sekarang kita mempunyai bukti bahawa sebahagian daripada kempen BN dibiayai menggunakan wang pembayar cukai.

"Kesan (kes ini) lebih besar kerana ia membabitkan RM2 juta dana awam," dakwanya.

Dakwaan itu, katanya, adalah berdasarkan surat daripada Jabatan Perbendaharaan bertarikh 23 April, 2013, kepada presiden persatuan berkenaan.

Rafizi mendedahkan kandungan surat itu pada sidang akhbarnya bersama-sama dengan minit mesyuarat persatuan itu yang bertarikh 11 Mei 2013, di mana dicatatkan bahawa presiden didakwa mengakui menerima derma RM2.5 juta untuk tujuan pilihan raya.

Ditanya mengenai percanggahan RM500 juta itu, Rafizi berkata, beliau hanya boleh membuat kesimpulan bahawa terdapat sumber lain yang turut menyalurkan dana kepada persatuan itu.

Malaysiakini tidak menyiarkan nama persatuan berasaskan kaum India itu sehingga mendapatkan maklum balas mereka.

Tiada ulasan: