Jumaat, 19 Februari 2016

KENAPA BARU SEKARANG, ZAHID?

shahbudindotcom


 
 
 
Di Sarawak pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penangguhan pengambilan semua pekerja asing, termasuk daripada Bangladesh, berkuatkuasa serta merta.

Katanya, penangguhan itu dilakukan sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh industri serta untuk meneliti keputusan berkaitan pembayaran levi dua kategori.

Soalnya, kenapa baru sekarang mahu mengkaji keperluan pasaran? Kenapa kajian tidak dilakukan sebelum mulut terbuka melafazkan kata-kata?

Adakah penangguhan akan tetap dilakukan jika rakyat tidak membantah dan berdiam diri saja?

Mengapa sebelum ini begitu gah mengumumkan keperluan pekerja asing kononnya untuk keperluan industri serta mengatakan belia kita begitu memilih pekerjaan?

Mengapa anak sendiri pun turut sama bersuara seolah-olah membawa masuk pekerja asing adalah pilihan yang muktamad yang perlu dilakukan sebelum dunia kiamat?

Adakah ini menunjukkan keputusan berhubung kemasukan pekerja Bangladesh yang diumumkan sendiri oleh Zahid sebelum ini tidak berdasarkan kajian dan keperluan pasaran, sebaliknya hanya bisikan  "orang halus", diterima dalam mimpi atau pesan daripada alam ghaib?

Oppsss....adakah penangguhan kemasukan pekerja asing ini turut ada kaitan dengan pengumuman adik Zahid semalam berhubung keputusan syarikatnya tidak lagi menjalankan perniagaan berkaitan dengan kerajaan, termasuk di kementerian yang diterajui oleh abangnya?
 
 
 
 
 
Tetapi, yang nyatanya inilah kesan daripada bangkitnya rakyat bersuara dan membantah kebanjiran pekerja asing yang ternampak di mana-mana sejak kebelakangan ini.

Sekurang-kurangnya ini memperlihatkan "suara rakyat tetap suara keramat" dan kebangkitan rakyat memungkinkan sesuatu itu dapat ditolak ke tepi.

Kepada rakyat Malaysia yang cintakan negara ini, marilah kita terus bangkit dan bersuara, bukan saja berkaitan pekerja asing, tapi juga dalam melakukan tekanan dan perubahan berhubung isu-isu lain yang lebih besar daripada itu.


Tiada ulasan: