Khamis, 25 Februari 2016

Kementerian Kesihatan diminta siasat produk Johnson & Johnson

 
Pengguna dinasihatkan supaya berhenti sementara menggunakan produk syarikat itu sehingga disahkan selamat.


Johnson & Johnson


PETALING JAYA: Syarikat Johnson & Johnson Malaysia dinasihatkan supaya secara sukarela menarik balik produk-produk yang mengancam keselamatan pengguna di negara ini, susulan kematian seorang wanita di Amerika Syarikat yang dikaitkan dengan penggunaan produk keluaran syarikat itu.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, tindakan sukarela itu bagi membuktikan syarikat berkenaan peka terhadap keselamatan pengguna.

Dalam masa sama, beliau menggesa Kementerian Kesihatan menjalankan ujian terhadap produk-produk syarikat itu bagi memastikan ia selamat digunakan.

“Pengguna pula dinasihatkan agar berhenti menggunakan produk ini buat sementara waktu sehingga Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan bahawa ia benar-benar selamat digunakan,” katanya kepada FMT.

Media antarabangsa melaporkan Johnson & Johnson telah diperintahkan membayar $72 juta (RM294juta) setelah kematian seorang wanita akibat kanser yang dikaitkan dengan produk keluaran syarikat itu.

Laporan Metro.co.uk menyebut, Jacqueline Fox mati akibat kanser ovari yang didapati berkait dengan penggunaan produk talkum Baby Powder dan Shower to Shower yang digunakan oleh Fox selama beberapa dekad.

Keputusan itu dibuat setelah perbincangan yang mengambil masa selama lima jam dan selepas melalui perbicaraan selama tiga minggu.

Juri mendapati Johnson & Johnson bertanggungjawab terhadap penipuan, kecuaian dan konspirasi, kata peguam keluarga Fox.

Tiada ulasan: