Jumaat, 12 Februari 2016

Kembali sokong PAS petanda ahli PAN keliru - Penganalisis politik

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: PAS digesa mendedahkan sekumpulan ahli Parti Amanah Negara (PAN) yang kini didakwa kembali menyokong parti lamanya, demikian menurut penganalisis politik, Datuk Dr Firdaus Abdullah.
 
Sekiranya tidak dilakukan, PAS akan dilabel sekadar menyebarkan spekulasi tanpa adanya bukti konkrit bahawa adanya kumpulan mengubah arah perjuangan.
 
Ujar Firdaus, sekiranya dakwaan itu berasas, maka ia menunjukkan ada 'sesuatu yang tidak kena' dalam perjuangan politik PAN.
 
"Untuk memastikan dakwaan itu kuat, Datuk Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung PAS) perlu mendedahkan butiran itu atau adakan sidang media di antara pihak yang telah kembali ke pangkal jalan itu.
 
"Jika dakwaan itu benar, saya rasa ia satu petanda sudah timbul kesedaran di kalangan sesetengah pihak yang sewaktu memberikan sokongan kepada PAN adalah kerana keliru, emosional atau mendapat informasi yang salah," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Firdaus mengulas dakwaan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa wujudnya sekumpulan ahli PAN kini kembali menyokong perjuangan PAS.
 
Menerusi pertemuan antara beliau dan kumpulan tersebut, Takiyuddin memberitahu ahli-ahli PAN berkenaan mengakui telah tersalah faham dengan arah tujuan parti serpihan PAS itu.
 
Takiyuddin meminta kepimpinan PAN menyiasat sendiri perkara berkenaan memandangkan beliau tidak mahu mendedahkan nama-nama individu yang terlibat.
 
Sebelum ini Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga menyatakan keyakinannya bahawa ramai ahli PAN akan kembali kepada PAS dalam tempoh enam bulan ini.
 
Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub bagaimanapun menyelar dakwaan PAS dengan menyifatkan ia sebagai satu dakwaan murahan.
 
Firdaus juga tidak menolak bahawa dakwaan Takiyuddin itu memberi kebimbangan kepada PAN sekiranya perkara itu benar.
 
"Sudah tentu ada kerunsingan di pihak mereka (PAN). Ia menunjukkan perjuangan mereka ada keraguan di kalangan penyokong. Kebimbangan di pihak PAN adalah wajar," kata Firdaus.
 
PAN merupakan parti serpihan PAS selepas sebilangan pemimpinnya, yang dikenali sebagai golongan profesional kalah dalam pemilihan parti itu pada Jun tahun lalu.
 
 

Tiada ulasan: