Ahad, 14 Februari 2016

Kaedah berkesan dalami al-Quran

Kaedah berkesan dalami al-Quran
Peserta Cordobana sanggup datang dari seluruh negara ke Kelantan untuk mempelajari kaedah berkenaan.
(


KOTA BHARU - Kemeriahan Rumah Ngaji melalui program Teknik Cordobana Sistem Bacaan Al-Quran 3 Hari diteruskan hingga ke hari kedua dengan penuh semangat.

Peserta dari Alor Setar, Ayub Mohd Saman, 52, mengakui selama dua hari proses pembelajaran, banyak perkara yang telah difahami dan dipelajari daripada tenaga pengajar.

Katanya, sebelum ini, iklan yang dilihat di akhbar Sinar Harian menarik minatnya untuk menyertai program ini kerana ia adalah kaedah baharu dan belum pernah dipelajari sebelum ini.

“Sebelum ini, saya membaca al-Quran merangkak. Selama dua hari di sini bersama peserta lain, alhamdulillah, ia memberi pengalaman baharu buat saya dalam mendalami ilmu ALLAH ini.

“Sesungguhnya, ilmu al-Quran itu boleh didalami dengan pelbagai cara dan iringan muzik gendang ini hanya menaikkan semangat untuk terus belajar tanpa rasa bosan.

“Saya tidak pernah belajar al-Quran dengan cara begini dan ia amat berkesan sekali,” katanya yang menginap di hotel berdekatan di sini.

Teknik bagus, mudah

Tambah Ayub, biarpun terpaksa menempuh jarak lebih 300 kilometer untuk sampai ke Kelantan, namun ia adalah satu pengorbanan yang berbaloi.

Peserta berasal dari Pendang,  Kedah, Abdul Rahman Mat Saad, 28, berhasrat membawa bakal isterinya untuk menyertai program Cordobana pada siri akan datang.

Katanya, kedatangannya ke Kelantan untuk mendalami ilmu al-Quran adalah kerana berminat untuk mengetahui teknik yang digunakan.

“Selama ini, kita hanya tahu proses pembelajaran al-Quran adalah dengan guru agama di kawasan berdekatan. Namun, cara yang digunakan itu bergantung pada seseorang.

“Ada yang boleh menerima cara ini dan ada juga yang kurang hadam, terutamanya golongan dewasa.
Penyampaian dan penerimaan itu tidak sama seperti golongan kanak-kanak.

“Saya rasa, teknik ini sangat bagus untuk mereka yang mahu belajar al-Quran dengan kaedah yang pantas. Malah, saya akan membawa bakal isteri saya untuk bersama-sama belajar kaedah ini,” katanya lagi.

Tambah Abdul Rahman, pengalaman menyertai program ini akan diuar-uarkan kepada keluarga, rakan-rakan dan orang kampung.

“Saya akan berkongsi kepada sanak saudara dan rakan-rakan mengenai program ini. Sepatutnya, ia sudah lama diterapkan dalam kehidupan masyarakat kita,” katanya lagi.

Sementara itu, Sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai seminar ini boleh terus menghubungi Ketua Pegawai Operasi Akademi Cordobana Sdn Bhd, Azam Aris di talian 019-2165175 melalui SMS dan aplikasi WhatsApp.


Tiada ulasan: