Selasa, 23 Februari 2016

Hati-hati ke Australia, negara itu rasis, kata menteri

Anne Muhammad  





Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Nazri Aziz yang kecewa dengan tindakan kerajaan Australia berhubung amaran terhadap rakyatnya mengenai kemungkinan serangan pengganas di sekitar ibu negara membidas negara itu.

Katanya, rakyat di negara ini tidak perlu bimbang dengan amaran itu dan seperti Kuala Lumpur, Australia dan beberapa bandar utama di seluruh dunia juga terdedah dengan ancaman kumpulan pengganas IS.

“Bukan KL saja dapat ancaman, Australia pun lagi kuat ancaman, Paris, London, dan Frankfurt.

“Jadi bagi saya kalau nak ingatkan rakyat dia berhati-hati (di Malaysia) tiada masalah.

“Kita pun bagi tahu rakyat kita hati-hati pergi Australia sebab negara itu rasis,” katanya.

Kerajaan Australia dalam laman web rasminya, Ahad lalu mengingatkan rakyatnya di negara ini agar berwaspada dengan ancaman pengganas yang mungkin berlaku di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan itu lagi, ancaman serangan itu mungkin menyasarkan kawasan yang sering dikunjungi warga asing khususnya pelancong Barat.

Selain itu, Australia menasihatkan rakyatnya agar mengambil langkah berhati-hati di seluruh Malaysia dengan mengelakkan perjalanan ke timur Sabah termasuk pulau-pulau dan lokasi menyelam skuba.

Mengulas lanjut, Nazri percaya kenyataan Australia itu tidak menjejaskan kemasukan pelancong di negara ini.

Sebelum ini Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa memberi jaminan kepada orang ramai bahawa situasi di ibu kota adalah selamat.

Untuk menyakinkan orang ramai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga melawat dan meninjau kawalan keselamatan di pusat beli-belah Pavilion, di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam.

Di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menjaga keselamatan awam di sekitar Kuala Lumpur, pihak polis meletakkan seramai 170 anggota manakala angkatan tentera pula mengerahkan 170 anggotanya menjalankan rondaan selama 24 jam sehari di sekitar kawasan tumpuan orang ramai.


Tiada ulasan: