Selasa, 16 Februari 2016

Gajah bergajah-gajah, pelanduk mati tersepit

Muhammad Ariff Mohamad Nizam

 


ULASAN Merentas Lautan Pasifik, Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak bersama barisan pemimpin serta elitis negara Asean sedang bersidang bersama Barack Obama yang kini dalam pecutan akhir sebelum melabuhkan tirai pentadbirannya.

Yang pasti, sidang kemuncak AS-Asean ini adalah episod akhir bagi beliau dalam drama pertembungan antara dua kuasa yang menjadikan Asean sebagai perisai.

Ia juga bertindak sebagai pentas akhir Obama mengukuhkan agenda Pasak Asia (meminjam terma Hishamuddin Rais yang merujuk kepada Pivot to Asia) – legasi pentadbirannya yang dilakar bagi mengekang kemaraan China menuju puncak kuasa dunia.

Ketegangan geopolitik di rantau ini tidak akan berkesudahan meskipun Obama angkat kaki dari Rumah Putih – dengan kehadiran kedua-dua kuasa ini yang bersifat agresif – tempiasnya pula dirasai negara-negara Asean.

Balik semula ke rantau ini, Filipina menjangkakan keputusan pertikaian wilayahnya dengan China bakal diputuskan pada bulan Mei akan datang; ia juga bakal menyaksikan satu lagi episod baharu dalam siri drama geopolitik di rantau ini.

Sementara itu, kita di Malaysia pula masih bingung dengan kehadiran kapal pengawal pantai milik China di perairan Sarawak dan ditegaskan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussien sebagai terkawal.

Jelas di kala AS hampir pasti mengikat Asean, China pula muncul merentapnya dengan segala tindak-tanduk sebaliknya.

Yang tersepit kini adalah negara-negara Asean – seperti Malaysia, yang kerajaannya jelas memperlihat keperluan berhubungan yang sihat dengan kedua-dua kuasa ini.

Ketegasan terhadap China

Situasi di perairan Gugusan Beting Patinggi Ali di kejauhan jarak 84 batu nautika dari Pantai Miri, Sarawak ini amatlah mendesak untuk diberi pandangan yang serius oleh pemerintah.

Ia tidak wajar disepikan daripada pengetahuan akar umbi.

Pencerahan daripada pemerintah diperlukan sekaligus merungkai kegusaran dan persoalan tentang situasi ini khususnya para nelayan yang terkesan selama dua tahun kebelakangan ini.

Apabila dirujuk dan dibelek laporan, ada juga yang menggunakan terma kapal perang sebagai merujuk kepada kapal pengawal pantai, ia jauh sekali meleset dan mengelirukan.

Jika dirujuk agensi kawalan pantai kerajaan China – yang ditubuhkan pada 2013 selepas digabungkan dengan beberapa agensi keselamatan maritim China – kapal pengawal pantai bertindak sebagai perisai mengawal perairannya dan menguat kuasa perundangan samudera.

Persoalannya, di perairan Gugusan Beting Patinggi Ali, memetik laporan Bernama pada tahun lalu, jentera China ini mula muncul di perairan berkenaan semenjak tahun 2013.

Dan ia ditegaskan oleh Malaysia sebagai pencerobohan perairan negara pada Jun tahun lalu menerusi bantahan diplomatik kepada China apabila didapati jentera tersebut berlabuh di kawasan berkenaan yang dirangkumkan sebagai kawasan perairan Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) Malaysia.

Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perundangan Samudera (UNCLOS) mentakrifkan keluasan jarak EEZ sebagai 200 batu nautika dari titik rendah perairan negara (baseline).

UNCLOS menetapkan hak kedaulatan kepada negara pemilik EEZ yang sekali gus bebas untuk menerokanya (termasuk aktiviti perikanan) dan membataskan penerokaan negara lain.

Pun begitu, ia masih menjamin hak kebebasan negara lain untuk menyusur lautan dan ruang udara di kawasan berkenaan.

Ia didatangkan dengan prinsip hak laluan ikhlas (innocent passage) sebagaimana yang ditegaskan oleh Liew Chin Tong, anggota parlimen Kluang dalam kenyataannya membidas Hishammuddin semalam.

Pendeknya, boleh saja menyusurinya asalkan tidak mengancam kepentingan negara pemiliknya – China.

Kalau nak menyusur, silakan, asalkan tidak ancam kedaulatan Malaysia. Tetapi, kalau sudah berlabuh, itu lain macam tujuannya.

Bagi negara seperti Malaysia, ia serius dan dilihat sebagai ancaman dan lebih-lebih lagi dengan sifat China yang kini agresif membuat tuntutan di pelosok Laut China Selatan.

Lebih menggusarkan, ia barang kali secara hakiki tidak memberi ancaman secara fizikal; seperti wilayah dan sempadan – tetapi memberi kesan kepada aktiviti perikanan para nelayan tempatan yang dikatakan tidak selesa dan gusar untuk meneruskan aktiviti ekonomi mereka.

Dirumuskan, ia dilihat sebagai melanggar prinsip hak laluan ikhlas – kerana sudah memberi ancaman,
bukan kepada negara secara fizikal tetapi kepada warganya dalam sisi spektrum kedaulatan negara secara komprehensif.

China kawal pantai kita?

Berbalik kepada kapal pengawal pantai milik China, apa yang dibuatnya berlabuh di kawasan EEZ Malaysia?

Sedangkan ia digariskan untuk mengawal perairan China dan kawasan yang berkepentingan baginya (dibaca: dituntutnya).

Jawapan Hishammuddin pula seakan ragam China ini tidak memberi kesan kepada kedaulatan negara walhal pada hakikatnya, ya, Malaysia terkesan.

Perlu ditegaskan bahwa kawasan EEZ ini tidak dimiliki Malaysia secara azali tetapi ia diperoleh melalui tuntutan.

Meskipun dinyatakan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim, menteri di Jabatan Perdana menteri (JPM) yang bertanggungjawab, bahawa perairan di kawasan beting berkenaan tiada dalam tuntutan dibangkitkan China, namun, jika Malaysia bersikap acuh tak acuh mungkin sekali memberi ancaman memudaratkan kelak.

Lebih malang, jawapan pemerintah juga tidak selari; si polan kata menceroboh, si polan kata terkawal, si polan kata tiada maklumat, si polan ni pula kaitkan dengan usaha mencari dan menyelamat, si polan tu pula aturkan pertemuan si polan yang lain dengan si polan dari China.

Maka, apa sebenarnya situasi di perairan ini? Mohon pencerahan wahai pemerintah!


Tiada ulasan: