Ahad, 7 Februari 2016

Fokus kawasan terbiar tangani denggi di Selangor- Fomca

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic

 
SHAH ALAM: Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Yusof Abdul Rahman menggesa supaya kerajaan negeri Selangor memberi fokus kepada kawasan pembiakkan nyamuk Aedes yang menjadi punca penularan penyakit denggi.
 
Katanya, banyak kawasan di Selangor terbiar dan mengabaikan pembersihan secara sistematik sehingga menjadi tempat nyamuk Aedes membiak.
 
"(Aktiviti pembasmian) perlu banyak melibatkan terutama kawasan-kawasan yang tidak diberikan penjagaan yang mencukupi dari segi kebersihan kemudian di kawasan-kawasan yang dipenuhi lalang-lalang dan sebagainya. itu yang menjadikan tempa-tempat pembiakkan nyamuk," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga perlu memastikan kawasan-kawasan 'hotspot' diberi perhatian sewajarnya selain daripada Jabatan Kesihatan memainkan peranan mereka dalam memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mencegah penularan penyakit ini.
 
"Tapi jika kita tengok kebanyakannya adalah dikendalikan bawah Jabatan Kesihatan sendiri yang banyak memantau, melakukan aktiviti kesedaran kepada masyarakat tentang denggi ini.
 
"Dari segi aktiviti-aktivit (pembasmian) kebanyakkan dilakukan oleh Jabatan Kesihatan mungkin kita perlukan peranan yang dibuat oleh kerajaan negeri bagi memastikan bahawa kawasan-kawasan yang dibawah pentadbiran mereka itu perlu juga dipantau bagi memastikan bahawa kawasan-kawasan yang menjadi kawasan 'hotspot' itu diberikan perhatian," ujarnya.
 
Malah tegas beliau pengguna juga memainkan peranan dalam membasmi pembiakan ini yang sepatutnya bermula daripada rumah. 
 
"Kita tahu denggi ini sebahagiannya disebabkan oleh sikap manusia juga. Kadang-kadang kita membuang sampah dan sebagainya serta tidak menjaga kesihatan itu adalah salah satu faktor yang menyebabkan pembiakkan nyamuk Aedes yang terus menular,"ujarnya.
 
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata Selangor mendahului dengan 12 kes kematian diikuti Pulau Pinang tujuh kes, Terengganu 6 kes, Negeri Sembilan 5 kes dan masing-masing 1 kes di Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Sabah dan Sarawak.
 
Menurutnya, faktor kepadatan penduduk, pembangunan dan jumlah warga asing yang berada di Lembah Klang menjadi penyumbang kepada kes denggi di Selangor meningkat.
 
Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM70,000 bagi satiap pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membanteras kes denggi di kawasan masing-masing.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: