Isnin, 8 Februari 2016

Dr Mahathir perlu sokong kempen bebas Anwar



Oleh Muammar Qaddafi


Perjuangan Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk mengekalkan jawatan beliau sebagai menteri besar Kedah tamat apabila pihak istana memutuskan beliau tidak lagi layak sebagai menteri besar kerana hilang majoriti sokongan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Kedah.

Kekalahan Mukhriz sudah dijangka kerana yang menjadi persoalan hanyalah apabila menafikan kenyataan Utusan yang mendakwa jawatan menteri besar sah bertukar akhir Januari tetapi beliau tetap tewas dalam perlawanan Februari dan terpaksa meletakkan jawatan.

Pada sudut pandangan lain, yang tewas sebenarnya Tun Dr Mahathir Mohamad. Bukan lagi rahsia beliau punca Datuk Seri Najib Razak bertindak menyingkirkan Mukhriz kerana kritikan keras Dr Mahathir terhadap kepimpinan Najib.


Ia meletakkan Najib pada posisi tidak selamat lalu terpaksa menyingkirkan semua yang berpotensi menentang beliau dan tentu sahaja Mukhriz yang merupakan anak lelaki Dr Mahathir adalah sasaran utama Najib.

Pemecatan Mukhriz pastinya membuka mata Dr Mahathir, walaupun beliau menyangka Najib, anak didiknya lemah dan mampu melawan.

Namun posisi Najib sebagai perdana menteri meletakkan Najib masih sebagai seekor naga yang berkuasa terhadap sekelilingnya.

Dr Mahathir sebagai bekas perdana menteri tidak punyai kuasa mahupun kekuatan untuk melawan. Suara beliau pun hanya mampu disebar luas melalui media-media alternatif  berbanding Najib yang menguasai hampir segalanya.

Dr Mahathir hanyalah dilihat sebagai seorang bapa yang tidak mampu melakukan apa-apa walaupun anaknya disakiti. Hanya mampu melihat dan mengharapkan diri memiliki sedikit berkuasa untuk menentang dan menjatuhkan.

Namun itu di luar kemampuan beliau kerana bukan lagi perdana menteri Malaysia.

Dalam rekod semenjak kepimpinan Dr Mahathir, hanya ada 2 individu yang mampu menggoncangkan posisi perdana menteri iaitu Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah menyebabkan Dr Mahathir hampir tewas posisi presiden Umno yang mampu ganggu gugat posisi perdana menteri.

Seorang lain adalah insan yang membawa gelombang reformasi dalam negara yang membawa kepada peletakan jawatan Dr Mahathir beberapa tahun kemudian, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tengku Razaleigh, semua maklum beliau bukanlah lagi berbisa seperti dahulu. Kemampuan beliau hilang sepenuhnya bersama usia dan pengaruhnya..

Harapan Dr Mahathir kini tinggal pada Anwar. Musuh utama beliau, mangsa kezaliman Dr Mahathir sendiri yang dipecat daripada posisi timbalan perdana menteri dan dipenjarakan, diaib dan dihina Dr Mahathir.

Namun pada 2004, beliau keluar dan 2008 beliau menundukkan keangkuhan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menang bergaya pada 2004 dengan menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional.

Anwar sekali lagi membuktikan kemampuan beliau apabila Pakatan Rakyat pada 2013 berjaya menambah kerusi Parlimen pada era kepimpinam Najib.

Kedudukan Najib sentiasa terancam sehinggalah pada 9 Februari 2015, Anwar dipenjarakan dan seterusnya membawa kepada berpecahnya Pakatan Rakyat sekali gus mampu memberi peluang kepada Najib untuk duduk lebih selesa.

Namun kedudukan Najib tidak sentiasa selesa kerana Anwar tetap akan kembali. Insya-Allah selewatnya pada 2018 selepas habis tempoh 5 tahun dalam tahanan.

Namun, usaha pembebasan lebih awal kepada Anwar giat diusahakan Pakatan Harapan agar ia dapat diperkukuhkan dengan sentuhan Anwar sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 selewatnya tahun 2018 kelak.

Anwar bebas atau tidak bukanlah satu kepedulian buat Dr Mahathir, namun jika beliau mahu melihat Najib diganggu gugat bahkan ditewaskan, maka beliau harus mendoakan pembebasan Anwar seterusnya cuba membantu berhadapan rejim Umno BN di bawah pemerintahan Najib.

Langkah pertama Dr Mahathir tidak susah, tanggal 9 Februari ini genap setahun Anwar dipenjarakan.
Pakatan Harapan akan menganjurkan solidiriti buat Anwar di hadapan penjara dan yang Dr Mahathir perlu lakukan hanyalah hadir memberi sokongan.

Persoalannya, adakah beliau sanggup melupakan dendam lama berserta ego besar untuk memberi sokongan kepada mangsa kezalimannya sendiri demi kepentingan negara Malaysia juga untuk memberi harapan melihat Najib kembali duduk tidak selesa

Tiada ulasan: